Datuk Seri Najib Razak semalam berkesempatan bertemu sahabat-sahabat seperjuangannya ketika memimpin pergerakan Pemuda Umno pada penghujung 80-an.

Dalam acara di di Putrajaya itu, perdana menteri mengakui tersentuh hati melihat kehadiran mereka yang datang daripada seluruh Malaysia untuk meluangkan masa bersamanya.

“Walaupun kebanyakan daripada mereka kini berada dalam dekad ke-60 hidup di dunia ini, tetapi semangat mereka mempertahankan, menegakkan dan meneruskan perjuangan parti Umno yang kita cintai ini tidak pernah sedikit pun luntur.

“Inilah sahabat-sahabat yang saya boleh bergantung harap untuk mempertahankan saya bukan sahaja sebagai presiden Umno tetapi juga sebagai seorang sahabat yang telah dikenali berpuluh tahun lamanya,” katanya.

Pertemuan semalam berlangsung di tengah-tengah kebimbangan perpecahan Umno susulan kontroversi sekitar pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya.

Beberapa tokoh-tokoh penting bagi Umno, termasuk Mahathir dan timbalan presiden yang digantung tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin, terus lantang mendesak pengunduran Najib.

Menulis di blognya hari ini, Najib berkata, kumpulan itu adalah sebahagian daripada sejarah Umno.

Tambahnya lagi, tanpa sokongan Pemuda ketika Umno dilanda konflik Team A dan Team B suatu ketika dulu, tidak mungkin parti akan pulih.

“Nilai yang ada antara saya dan sahabat-sahabat saya ini bukan nilai material, tetapi nilai persahabatan yang ikhlas, tidak boleh dijual beli. Kami setia bersama dalam apa jua keadaan.

“Saya percaya tidak ada dalam kalangan sahabat-sahabat saya ini yang akan lari atau khianat terhadap sumpah setia kita sebagai ahli parti Umno yang kita kasihi,” tulisnya.

Beliau percaya tali silaturrahim yang terjalin sekian lama akan terus “setia dalam persahabatan” dan “ikhlas dalam perjuangan” demi Umno, bangsa dan negara.

Dalam krisis Umno 1987, pertembungan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah membawa kepada pengharaman Umno.