BERITA Malaysiakini

Peguam: Bolehkah penyiasat asing bertindak terhadap PM?

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Adakah penyiasat asing berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri Malaysia?

Perkara ini dibangkitkan oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang merupakan salah seorang peguam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Isu pertama yang perlu anda lihat adalah sama ada mereka mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perdana menteri Malaysia, yang merupakan seorang warganegara Malaysia dan bukan warganegara Switzerland, Jerman atau Amerika Syarikat.

"Jadi boleh anda (penyiasat asing) melanjutkan bidang kuasa anda di luar negara dan mengikat seseorang yang bukan warganegara?" Soalnya menurut Channel News Asia hari ini.

1MDB, yang diilhamkan Najib, kini menjadi tumpuan beberapa negara luar termasuk di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan Luxembourg, berhubung dengan penyelewengan yang disyaki dan dakwaan pengubahan wang haram.

Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Bulan lalu, Pejabat peguam negara Swizerland (OAG) berkata ia sedang berhubungan dengan Malaysia bagi meminta Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dalam prosiding jenayah mengenai 1MDB.

Pakar komunikasi OAG Anthony Brovarone berkata pejabat beliau tidak boleh memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu tetapi berpuas hati dengan reaksi Malaysia.

Sementara itu, 1MDB telah secara konsisten menafikan sebarang salah laku, tetapi berjanji untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa dan penyiasatan yang sah.

Konvensyen antarabangsa

Mengulas mengenai kenyataan Hafarizam, peguam Andrew Khoo memberitahu Malaysiakini bahawa "perbuatan rasuah adalah satu perbuatan rasuah" tanpa mengira siapa yang melakukan jenayah itu.

"Kecuali orang yang menuntut kekebalan kedaulatan. Walaupun apa-apa kekebalan wujud dalam sesebuah negara, ia biasanya tidak meliputi tindakan-tindakan yang dikatakan rasuah,"katanya.

Khoo bersama dengan rakan peguam Syahredzan Johan juga memberitahu Malaysiakini bahawa negara mempunyai bidang kuasa ke atas kesalahan yang dilakukan di dalam sempadan mereka, walaupun orang yang dituduh atas suatu kesalahan bukan warganegara negara itu.

Terdapat juga konvensyen antarabangsa yang menyatakan bahawa ketua-ketua negara, menteri-menteri kanan dan ahli-ahli kabinet kebal daripada ditangkap dan didakwa, termasuk mereka yang di luar bidang kuasa.