MB K'tan selamat jalani pembedahan kecil
Diterbitkan: Apr 14, 2016 7:00 AM | Dikemas kini: Apr 14, 2016 4:03 PM
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob selamat menjalani pembedahan kecil akibat pendarahan di bahagian kiri kepalanya, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini.
Setiausaha Akhbarnya, Mohd Asri Mat Daud berkata menteri besar itu kini sedang berehat di bawah pemantauan doktor pakar.
"Doakan beliau (Ahmad) cepat sembuh untuk kembali bersama rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai punca berlaku pendarahan tersebut, beliau berkata menteri besar itu hanya menyedari berlaku pendarahan berkenaan beberapa hari lalu.
Ahmad dimasukkan ke HUSM pada pukul 11.30 pagi semalam.
- Bernama

