Kami tidak akan pindah, kata setinggan Sungai Udang
Kesemua 37 penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut sepakat tidak akan berpindah, melainkan mereka mendapat rumah pangsa kos rendah Taman Cuepacs, yang terletak bersebelahan kampung mereka.
Kesemua 37 penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut sepakat tidak akan berpindah, melainkan mereka mendapat rumah pangsa kos rendah Taman Cuepacs, yang terletak bersebelahan kampung mereka.
Mereka menyatakan keputusan itu dalam perjumpaan dengan Ahli Parlimen Segambut, Tan Kee Kwong; Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Kamaruddin Ambok dan wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahad lalu.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Gulan Shariff berkata, kesemua 37 penduduk terbabit yang diarahkan berpindah oleh DBKL hujung bulan ini rela rumah mereka dirobohkan dan menolak tawaran untuk menyewa flat 18 tingkat di Jinjang.
"Tidak ada sebab kami tidak mendapat rumah pangsa tersebut kerana sebelum ini beberapa pemimpin tempatan telah berjanji bahawa setinggan Kampung Sungai Udang akan diberi keutamaan mendapatkan rumah pangsa Taman Cuepacs.
"Malah dalam perjumpaan sebelum ini, pegawai DBKL juga berjanji untuk memberi pertimbangan wajar terhadap permohonan penduduk untuk mendapatkan rumah pangsa tersebut," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Pada 21 Januari lalu, penduduk setinggan Sungai Udang memulaukan majlis cabutan undi untuk menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu 1, Jinjang, Kuala Lumpur.
Mereka juga telah menghantar memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan menyatakan hasrat mereka untuk mendapatkan rumah pangsa kos rendah Taman Cuepacs.
Undi tidak percaya
Mereka juga telah menemui pemaju Taman Cuepacs Megah Kepong Sdn Bhd untuk membeli rumah pangsa kos rendah tersebut tetapi diberitahu ia telah diserahkan kepada DBKL.
Mereka enggan berpindah ke Jinjang kerana mendakwa kawasan itu tidak mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi, kualiti bangunan yang rendah dan ciri-ciri keselamatan yang tidak mencukupi.
Dalam perjumpaan hari Ahad lalu, penduduk setinggan Kampung Sungai Udang mengingatkan Kamaruddin supaya bersungguh-sungguh membantu penduduk.
"Kami juga memberitahu Kamaruddin supaya segera menyelesaikan masalah ini. Jika tidak, penduduk akan memintanya jangan terlibat lagi dalam kes ini.
Di majlis perjumpaan tersebut, Kamaruddin juga dilaporkan menegur penduduk terbabit kerana membawa masalah mereka kepada pihak pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Kata Gulan, Kamaruddin mendakwa rumah kos rendah Taman Cuepacs terletak di kawasan Parlimen Kepong dan kerana ini beliau tidak dapat membantu mereka mendapatkan rumah tersebut.
"Jika Kamaruddin terus berdolak-dalih, Umno Cawangan Sungai Udang akan membawa undi tidak percaya terhadapnya dalam mesyuarat cawangan Umno tidak lama lagi," katanya.
Gulan juga mendakwa, sebuah kawasan setinggan berhampiran Kampung Sungai Udang yang didiami pendatang Indonesia, sudah dimajukan dengan pembinaan kondominum sedangkan DBKL pernah berjanji untuk membina rumah kos rendah di situ.

