Pilihan raya Sarawak: Undi - 7 Mei, penamaan calon - 25 April
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei depan manakala penamaan calon pula adalah pada 25 April.
Sebanyak 82 kerusi akan dipertandingkan pada pilihan raya ini.
Perkara ini diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media di Kuching, hari ini.
Beliau berkata, bagi pilihan raya negeri ke-11, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2015 yang dikemaskini sehingga 10 April lalu.
Daftar pemilih itu mengandungi 1,138,650 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 1,113,522 pemilih biasa, 25,022 pemilih tidak hadir bagi pengundi awal dan 106 pemilih tidak hadir bagi pengundi pos.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan sebelum berlangsungnya PRN-11 ialah selama 12 hari,” katanya.
Pilihan raya diadakan selepas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada 11 April lalu membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

