Sultan Johor: Jangan fitnah, saya percaya MB
Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar mengingatkan pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tidak menangguk di air keruh dengan membuat fitnah terhadap kepimpinan negeri.
Baginda bertitah masih percaya terhadap kepimpinan sedia ada, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin.
"Saya masih percaya dengan menteri besar sekarang dan yakin dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang ada.
"Saya berharap tidak ada ahli dewan di dalam ini yang menjadi musuh dalam selimut yang cuba mengganggu kestabilan politik yang tegap dan kukuh di negeri Johor ini" titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, hari ini.
Minggu lalu, timbul desas-desus bahawa menteri besar Johor akan ditukar seperti Kedah.
Shukur, anak kepada Speaker Johor Tan Sri Mohamad Aziz, mendakwa terdapat gerakan untuk menukar Khaled yang diketuai oleh seorang timbalan menteri di negeri itu.
Shukur juga mendakwa gerakan itu juga merancang untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno yang digantung tugas, di peringkat akar umbi.
Sementara itu, baginda mengingatkan semua pihak agar tidak menyamakan rakyat Johor dengan negeri-negeri lain.
“Bangsa Johor itu setia kepada agama, bangsa dan tanah air, berani kerana benar, bersatu menghadapi cabaran dan bermuafakat dalam mencari keberkatan,” titahnya.

