Pemimpin Umno, Datuk Jamal Md Yunos menjadi individu terbaru dihantar pulang dari lapangan terbang Sarawak selepas dihalang memasuki negeri itu.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu dipercayai menjadi pemimpin Umno pertama dihalang memasuki Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu pada 7 Mei.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebelum ini mempertahankan larangan imigresen terhadap beberapa pemimpin pembangkang dengan mengatakan beliau ingin menjaga keharmonian negeri.

Jamal tahun lepas mengetuai perhimpunan baju merah, yang menyaksikan penyokongnya menyerbu Jalan Petaling dan mengadakan demontrasi terhadap peniaga Cina di kawasan itu.

Sarawak mempunyai hak imigresen berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin juga dihalang daripada memasuki Sarawak tengah malam tadi.

Selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Afif menerima notis daripada Jabatan Imigresen negeri bahawa namanya telah disenarai hitam.

Menurut beliau, arahan untuk menghalang beliau daripada memasuki Sarawak datang dari pihak atasan.

"Tindakan pimpinan Barisan Nasional Sarawak ini membuktikan mereka ini sebuah regim yang tidak teragak-agak untuk merampas hak rakyatnya apabila kedudukan dan kekuasaan mereka terancam.

"Tindakan ini juga bukti bahwa mereka gagal menghayati prinsip tertubuhnya negara Malaysia.

"Kami menyeru semua anak muda dan rakyat negeri Sarawak untuk lakukan perubahan di Pilihan Raya Negeri Sarawak," ujarnya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 37 ahli parlimen pembangkang, aktivis dan ahli akademik dilarang masuk ke Sarawak.

Ia termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu. Clare-Rewcastle Brown, editor Sarawak Report, juga disenaraihitam.

Ahli Parlimen pembangkang menegaskan pelawat yang terlibat dalam aktiviti politik yang sah dibenarkan ke negeri itu di bawah Seksyen 66 dan 67 Akta Imigresen dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Jabatan Imigresen negeri enggan mendedahkan senarai penuh mereka yang dihalang daripada memasuki negeri ini.

"Kami menasihati jika anda rasa anda mungkin jadi orang yang tidak diingini di Sarawak, anda tidak perlu datang," kata Pengarah Imigresen Sarawak, Ken Leben.