Guan Eng minta KM benarkan ahli DAP ke Sarawak
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menulis sepucuk surat kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam, meminta anggota parti itu tidak dihalang ke negeri itu kerana mereka mempunyai urusan politik yang sah.
Dalam surat itu, Lim meminta Adenan untuk mengarahkan Pengarah Imigresen Sarawak untuk membenarkan ahli dan pemimpin DAP memasuki Sarawak kerana pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama lagi.
"Saya menulis untuk menggesa anda mengarahkan Pengarah Imigresen supaya serta-merta membenarkan mereka yang namanya disenaraikan ke Sarawak," tulis Lim yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang.
Beliau merujuk Seksyen 67 Akta Imigresen yang menyatakan bahawa kuasa khas imigresen di negeri itu untuk melarang kemasukan tidak meliputi mereka yang terbabit dalam aktiviti politik yang sah.
"Seksyen 66 (1) tidak boleh dikuatkuasakan ke atas warganegara yang memasuki negeri Malaysia Timur itu semata-mata untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sah; tetapi beban membuktikan bahawa seseorang itu berhak memasuki negeri Malaysia Timur di bawah seksyen ini terletak pada orang itu," katanya.
Ahli parlimen Kulai dan penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Teo Nie Ching serta ahli parti Ooi Leng Hang baru-baru ini dilarang ke Sarawak seperti yang diarahkan oleh Adenan di bawah peruntukan Akta Imigresen.
"Saya faham bahawa mungkin ada banyak lagi ahli dari parti saya, kebanyakannya ahli Parlimen, yang berada dalam 'senarai larangan'; pihak berkuasa negeri telah mengarahkan Pengarah Imigresen untuk menolak kemasukan mereka ke Sarawak," kata Lim.
Atas kedudukannya sebagai setiausaha agung parti, Lim berkata bahawa semua ahli-ahli DAP yang dalam perjalanan ke Sarawak adalah atas urusan politik yang sah serta dilindungi di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen.

