Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun mengutuk polis kerana membazirkan sumber yang sepatutnya digunakan untuk pencegahan jenayah dengan menyiasat wakil rakyat pembangkang yang berarak dari bangunan parlimen ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Fong berkata, tindakan menyoal siasat ahli parlimen pembangkang yang membantah penangkapan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli baru-baru ini hanya membazirkan masa dan wang pembayar cukai.

"Kami hanya melindungi maruah parlimen dan menuntut ahli parlimen dihormati.

"Kami hanya pergi ke sana (Bukit Aman) untuk menyerahkan memorandum kepada polis," katanya pada sidang akhbar selepas beliau dan dua lagi disoal oleh polis berhubung perarakan pada 7 April.

Fong, bersama Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong hadir ke Balai Polis Sentul untuk disoal siasat pada pukul 11 ​​pagi hari ini, disertai oleh wakil rakyat pembangkang lain yang datang menyokong.

Ini termasuk Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Teresa Kok (Seputeh) dan Teo Nie Ching (Kulai). Ketiga-tiga mereka disoal selama kira-kira satu jam dan mengadakan sidang akhbar selepas keluar dari balai polis.

Kok Seong berkata, tidak perlu bagi polis memanggil mereka hanya kerana perkara kecil sehingga beliau terpaksa datang dari Seremban dan mengganggu tugasnya sebagai ahli parlimen.

"Polis perlu mendengar dan menerima apa yang disenaraikan dalam memorandum itu, dan tidak memanggil kami untuk disoal siasat," katanya, sambil menambah perjalanan dari Kuala Lumpur dari kawasan beliau telah mengambil masanya untuk berkhidmat kepada pengundinya.

Beri tumpuan cegah jenayah

Sementara itu, Nie Ching menasihatkan polis memelihara undang-undang yang merupakan skop kerja utama mereka.

"Malaysia mempunyai empat bandar disenaraikan sebagai yang paling berbahaya di rantau ini, iaitu Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Baru, dan Klang. Jadi, tidak perlukah polis lebih berusaha dalam mencegah jenayah?" soalnya.

Beliau merujuk kepada Worldatlas.com, sebuah laman web pelancongan dan geografi yang menyenaraikan empat bandar raya Malaysia sebagai berisiko tinggi berlaku jenayah.

Di samping itu, Nie Ching berkata, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga dipanggil untuk disoal oleh polis mengenai perkara yang sama, walaupun beliau tidak dimaklumkan bila dan di mana untuk bertemu polis.

"Kami masih tidak tahu siapa seterusnya yang akan dipanggil untuk disoal, tetapi kita harap pihak polis dapat melihat yang kita berkumpul dengan aman," katanya.

Rafizi ditahan di pintu Parlimen di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), selepas mendedahkan maklumat daripada dokumen sulit mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan kemudian ditahan reman selama tiga hari

Dua hari kemudian, ahli parlimen pembangkang berarak dari bangunan barlimen ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk membantah penahanannya. Seminggu kemudian, polis mula memanggil mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan itu untuk disoal siasat.