Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ribuan ikan mati di Sungai Changkat, Nibong Tebal
Diterbitkan:  Apr 15, 2016 7:00 AM
Dikemaskini: Apr 15, 2016 3:06 AM

Ribuan ikan ditemui mati dan terapung di sepanjang Sungai Changkat hingga pintu air Pulau Burung, di Nibong Tebal sejak tiga hari lepas, dipercayai akibat pencemaran.

Ketua Unit Persatuan Nelayan Changkat Abdul Rahman Ibrahim berkata beberapa jenis ikan air tawar seperti lampam, puyu dan sepat dilihat terapung di sungai itu sejak Selasa lepas.

"Pada mulanya hanya beberapa ekor saja yang mati... tapi semalam makin banyak dan memenuhi Sungai Changkat hingga ke pintu air Pulau Burung," katanya kepada pemberita di Nibong Tebal semalam.

Penasihat persatuan itu, Abdul Rahim Kassa pula mendakwa air sungai itu kotor dan berbau sejak seminggu lepas menyebabkan beliau tidak keluar menangkap ikan.

"Badan juga terasa gatal bila terkena air sungai," katanya.

Beliau berkata kejadian ikan mati pernah berlaku di sungai itu pada 1998 apabila kira-kira tiga tan bangkai ikan terapung akibat pencemaran air daripada kawasan pelupusan sampah berhampiran.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Jawi Soon Lip Chee yang meninjau keadaan sungai berkenaan hari ini, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil contoh air di situ bagi menyiasat punca sebenar ikan mati.

Soon berkata beliau telah meminta kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran supaya tidak melepaskan air di pintu air Pulau Burung buat sementara waktu bagi mengelakkan air yang tercemar masuk ke laut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan nelayan dan orang ramai supaya tidak menangkap ikan di kawasan tersebut kerana dikhuatiri tidak selamat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS