Masih menjadi buruh walaupun 35 tahun berlalu
Kira-kira 70 keluarga kaum Iban yang dipindahkan dari sempadan Kalimantan ke kawasan penempatan semula sewaktu tercetusnya 'konfrontasi' pada tahun 1963-1966 kini menuntut hakmilik dan pampasan yang dijanjikan kepada mereka oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Kira-kira 70 keluarga kaum Iban yang dipindahkan dari sempadan Kalimantan ke kawasan penempatan semula sewaktu tercetusnya 'konfrontasi' pada tahun 1963-1966 kini menuntut hakmilik dan pampasan yang dijanjikan kepada mereka oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Ketua Kampung, Nelson Janggai anak Sulau berkata, pada tahun 1963, kerajaan negeri telah mengarahkan lebih 400 keluarga dari dua buah kampung di tempatkan semula berhampiran Miri atas sebab-sebab keselamatan, kerana berlakunya pertempuran di sempadan.
Penduduk Lobang Baya dan Nanga Jambu Delok di Lubok Antu bersetuju untuk berpindah selepas diberitahu mengenai pentingnya mereka di tempatkan semula di kawasan yang lebih selamat dan mudah dihubungi.
Katanya, Perbadanan Kemajuan Kewangan Sarawak (SFDC), yang menguruskan penempatan semula itu, menawarkan lot seluas 0.6 hektar kepada setiap penduduk di skim kelapa sawit Kampung Penempatan Bukit Peninjau kira-kira 50km di selatan Miri.
"Sudah 35 tahun berlalu. Kami yang sepatutnya menjadi pemilik, tetapi masih menjadi buruh," katanya kepada malaysiakini ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau mendakwa Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (LKTS) telahpun menjual tanah rancangan tersebut, termasuk kawasan kampung dan ladang kelapa sawit, kepada Pembangunan Perladangan Pertanian Sarawak (SPAD).
Malaysiakini tidak dapat menghubungi pegawai-pegawai di agensi-agensi berkenaan semalam, untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.
'Kotai janji'
Mengikut Nelson, Penguasa Ukur dan Tanah negeri meluluskan pajakan sementara selama 60 tahun pada bulan Mei 1983 kepada LKTS bagi kawasan seluas 2,162 hektar berhampiran Bukit Kisi dengan bayaran premium lebih daripada RM16,000 dan sewa tahunan sebanyak RM5,343.
"Perjanjian kami adalah dengan SFDC (ketika itu) tetapi keseluruhan skim ini telah diambil alih oleh LKTS dan telah dijual kepada SPAD," katanya.
"Kami yang sepatutnya menjadi pemilih tanah, sebaliknya dibayar gaji harian RM8 atau RM200 sebulan. Bagaimana keluarga kami hendak hidup serta anak-anak yang masih bersekolah? Kami mahu kerajaan menguatkuasa semula perjanjian penempatan semula 1970."
Menurutnya lagi, penduduk terbabit juga telah gagal dalam usaha mereka untuk menghentikan tanaman semula kelapa sawit sejak SPAD mengambil alih pengurusan skim tersebut.
Ketika penempatan semula dimulakan secara berperingkat-peringkat pada tahun 1970, katanya, kerajaan telah berjanji untuk memberi plot seluas empat hektar kepada setiap penduduk tersebut dan mengeluarkan hakmiliknya selepas 12 tahun.
"Tetapi kebanyakannya telah meninggalkan tanah rancangan ini selepas keliru dengan apa yang telah berlaku dalam agensi-agensi kerajaan terbabit. Sesetengahnya pula telah diberi tempat kediaman sementara oleh LKTS dan diminta menandatangani perjanjian yang berasingan," katanya sambil menambah, ini berdasarkan kepada apa yang diberitahu kepadanya oleh penduduk kampungnya.
Skim pampasan
Mengikut nota penjelasan yang disertakan bersama dengan pekeliling rasmi bertarikh 9 Februari 1970 yang dikeluarkan oleh pegawai kemajuan negeri mengenai pemilihan peneroka, hakmilik tanah tidak akan dikeluarkan sehingga 'keseluruhan kos pembangunan diperolehi semula".
Bagaimanapun, peneroka boleh mendiami Kampung Bukit Peninjau "sementara menunggu mendapatkan hakmilik dan digalakkan mengusahakan (tanah) ketika masa lapang mereka".
Skim pampasan disediakan bagi kes-kes di mana peneroka terpaksa dipindahkan tetapi "hanya selepas tanah dimajukan sepenuh", dalam jangka masa empat hingga lima tahun kemudiannya.
Sebagai sumber hidup, kata Nelson, penduduk kampung yang masih tinggal telah mengusahakan tanah kerajaan negeri berhampiran, dengan tanaman orkid, sayur dan pisang.
"Kami mahu kerajaan negeri memberi kami dua tapak sebagai gantian kepada tanah pusaka yang kami kehilangan sewaktu penempatan semula tersebut."
Bagaimanapun, Penguasa Ukur dan Tanah daerah Miri telah mengeluarkan surat pada 17 Jun 2003 melarang Nelsan dan ketua kampung kedua Asong anak Pitot dan semua penduduk daripada mengusahakan aktiviti pertanian di tanah kerajaan negeri.
"Kami hanya mahukan apa yang menjadi hak kami, iaitu, kami mahu tapak berhampiran kampung untuk menggantikan tanah pusaka yang kami kehilangan sewaktu penempatan semula dulu," tambah Nelson.

