Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyifatkan bekas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai diktator dan tidak mahu mereka berdua menentukan hala tuju negara.

Sebaliknya, kata beliau, akhirnya, rakyat yang akan menentukan siapakah yang layak memimpin negara.

Justeru, beliau menggesa rakyat untuk lebih aktif bersuara dalam forum termasuk dalam deklarasi Selamatkan Malaysia supaya suara mereka lebih didengari.

Nurul Izzah berkata demikian menyangkal kenyataan Dr Mahathir bahawa bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini di penjara sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang akan datang.

“Pada saya isu ini tidak relevan kerana kita tidak mahu mantan diktator atau diktator terkini tentukan masa depan hala tuju Malaysia.

“Maka saya minta lebih ramai rakyat lebih aktif untuk memastikan diri mereka, suara mereka diwakili dalam pelbagai forum termasuklah dalam deklarasi selamatkan Malaysia. Isunya apa, biar rakyat yang tentukan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Isnin lalu Tun Dr Mahathir berkata Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang akan datang.

Beliau juga mengekalkan keputusannya untuk memecat bekas timbalannya itu pada tahun 1998, dengan mengatakan Anwar sebagai "tidak bermoral".

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, "Jika orang menyokongnya, tiada apa yang boleh saya katakan."

Nurul Izzah yang adalah anak sulung Anwar berkata, ayahnya merupakan simbol kepada ketempangan sistem politik dan kehakiman.

Malah menurutnya, jika semua pihak membiarkan Dr Mahathir menyatakan pendapat yang bersifat dendam, agenda menjayakan Malaysia yang lebih baik akan gagal.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim pada saya adalah simbol kepada kebejatan dan ketempangan sistem. sama ada sistem politik 1998 atau sistem kehakiman terbukti melalui laporan-laporan antarabangsa jadi status oleh PBB.

“Apa yang saya mahu adalah komitmen dalam melaksanakan reformasi. Saya berdiri teguh dan saya harap rakyat Malaysia akan komited kerana kita bercakap dalam soal menyelamatkan negara.

“Jika kamu membiarkan segelintir suara-suara ini menyuarakan pendapat bersifat dendam, kamu akan gagal dari segi menjayakan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Nurul Izzah ketika ditanya mengenai kenyataan timbalan presiden Umno yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju sekiranya Datuk Seri Zahid Hamidi menggantikan Najib berkata, jika sistem negara masih sama, penggantinya tidak mampu untuk mengubah kebejatan yang wujud.

“Apa bezanya kalau Zahid Hamidi yang jadi perdana menteri, saya lihat yang kita mahu bukan saja menggantikan perdana menteri tapi sistem yang kita warisi dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Justeru saya akan teruskan mengekalkan agenda ini reformasi institusi dalam mewakili suara saya,” katanya.