Misi konvensyen Umno Tganu untuk hapuskan PAS di DUN
Pemimpin bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Terengganu akan berkumpul selama dua hari mulai Jumaat ini untuk merangka strategi ke arah meranapkan pengaruh PAS di negeri itu menjelang pilihanraya umum akan datang.
Pemimpin bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Terengganu akan berkumpul selama dua hari mulai Jumaat ini untuk merangka strategi ke arah meranapkan pengaruh PAS di negeri itu menjelang pilihanraya umum akan datang.
Konvensyen yang boleh dianggap sebagai "mini perhimpunan agung Umno" itu akan berlangsung berpandukan kepada tema "Pembangkang Sifar: Hanya Umno Pilihan Melayu".
Seramai 860 pemimpin dari semua lapan bahagian Umno di Terengganu, akan turut memberi fokus kepada isu-isu politik, ekonomi, kemiskinan dan pembangunan bagi menentukan halatuju parti ke arah matlamat pembangkang sifar.
Sehubungan itu, Bernama memetik Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, sebagai berkata PAS terbukti gagal membangunkan Terengganu sewaktu sepenggal memerintah negeri itu.
"Ketika menjadi kerajaan, mereka telah gagal dan bila dah jadi pembangkang, lagi gagal," katanya sambil menambah, kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula Terengganu adalah kerana rakyat sedar hanya BN mampu membela nasib mereka.
Dalam pilihanraya umum lalu, PAS hanya mampu menang di empat kerusi negeri, termasuk Rhu Rendang yang diwakili presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tiga lagi kerusi PAS ialah Manir, Batu Burok dan Wakaf Mempelam. Terengganu mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Merealisasi matlamat
Sementara itu, pemerhati politik, Mokhtar Abdul Rahman, 54, yakin konvensyen dua hari itu akan dapat menghasilkan rumusan terbaik untuk merealisasikan matlamat pembangkang sifar dan beliau percaya Umno mampu melakukannya.
Katanya, walaupun belum setahun BN memerintah Terengganu, projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang lama tertangguh, Projek Lebuh Raya Pantai Timur dan beberapa projek penting lain, sudahpun menjadi kenyataan.
"Rakyat sudah melihat permulaan yang baik dalam pemerintahan BN Terengganu dan mereka sudahpun mendapat jawapan bahawa rakyat Terengganu mesti menolak PAS," kata seorang penyokong kerajaan dari Dungun, Anuar Awang.
Konvensyen dua hari itu, yang bakal dihadiri Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penutupannya Sabtu ini, sudah tentu akan memberikan nafas baru kepada Umno Terengganu.
Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Cheek berkata beliau yakin konvensyen itu mampu merumuskan pendekatan muktamad bahawa PAS mesti dihapuskan di DUN Terengganu.
Katanya, ia adalah perhimpunan terbesar melibatkan pemimpin Umno negeri dan sudah tentu mereka akan melontarkan banyak ide untuk memperkukuhkan parti.
"Saya percaya Umno mampu mencapai matlamat pembangkang sifar," katanya.

