Polis temui 4 bom buatan sendiri di kondo Damansara
Polis menemui sekurang-kurangnya empat bom paip buatan sendiri di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Selangor.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Zani Che Din, yang terlibat dalam operasi tersebut berkata bom itu ditemui dalam satu serbuan di Metropolitan Square Condominium pagi ini.
"Lebih kurang 4.30 pagi pasukan polis buat serbuan di sebuah rumah. Semasa serbuan itu suspek melarikan diri namun polis menjumpai 4 atau 5 bahan letupan
"Sebahagiannya kita boleh katakan alat letupan (IED), ia dibuat daripada PVC dan ada yang ada
circuit board
(papan litar)," katanya.
Beliau berkata, suspek merupakan warga tempatan dan rekod menunjukkan sekurang-kurangnya dua penyewa tinggal di unit kondominum itu.
Pihak polis katanya, akan meletupkan bahan letupan yang ditemui.
Zani berkata polis juga telah menemui dadah di kondominum berkenaan.
Terdahulu salah seorang penduduk Hafidz Baharom memberitahu Malaysiakini bahawa penduduk diberitahu untuk dipindahkan kira-kira jam 9.30 pagi.
"Mereka kosongkan bangunan, dan beritahu semua orang ia akan mengambil masa beberapa jam semasa mereka membersihkan bangunan daripada sebarang alat letupan," kata Hafidz.

