Pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik menegaskan bahawa beliau datang ke sini untuk keharmonian kaum.

"Saya ke sini (Malaysia) untuk keharmonian kaum. Saya sangat tahu dengan undang-undang kerana saya peguam Islam," katanya.

Oleh itu, tegasnya, beliau juga tidak takut walaupun gerakan hak asasi manusia Hindu, Hindraf, membuat laporan polis berhubung kehadirannya ke negara ini.

Dr Zakir menjelaskan, ia kerana beliau hanya takutkan kepada Allah dan bukannya manusia.

"Saya telah pergi ke banyak negara. Menurut Islam, kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menukar agama.

"Saya takut pada tuhan, Allah. Saya tidak takut kepada manusia," katanya yang turut memetik beberapa ayat al-Quran dalam forum yang bertajuk 'Islam - Problem and Solution to Humanity' di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka malam tadi.

Beliau berkata demikian sebelum mengislamkan seorang pelajar bernama Kevin yang sebelum itu bertanyakan tentang mengapa hanya orang yang beragama Islam masuk syurga walaupun agama lain mempunyai 'kepercayaan' yang hampir sama dengan Islam.

Forum berkenaan dihadiri kira-kira 20,000 hadirin.

Selain itu, menjawab soalan daripada seorang pelajar yang dikenali sebagai Jack yang bertanya tentang Islam, Dr Zakir turut menjelaskan tentang niatnya sebelum ini yang mahukan tajuk forum di universiti tersebut tentang persamaan antara agama Islam dan Hindu.

Penceramah yang terkenal dengan isu perbandingan agama itu menceritakan, ketika beliau menggunakan tajuk sama untuk berceramah di negara lain, kemarahan yang dibangkitkan ialah tidak mungkin ada persamaan antara dua agama berkenaan dan mereka memarahi beliau dan bukan tajuk tersebut.

Sebelum ini, pihak polis mengarahkan supaya ceramah di UTeM dibatalkan bagi mengelakkan melindungi sensitiviti agama di negara ini.

Bagaimanapun, kerajaan kemudian membenarkan ceramah tersebut dengan menetapkan syarat supaya tajuk yang digunakan sebelum ini- 'Similarities between Islam and Hinduism' ditukar.