Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pendakwah Dr Zakir Naik meminta orang ramai mengkaji terlebih dahulu sebelum menerima sebarang maklumat yang tidak benar berkaitan Islam.

Dalam syarahan bertajuk 'Islam- Problem and Solution to Humanity' di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka malam tadi, Dr Zakir memberikan contoh tentang media antarabangsa yang sering memberi gambaran tidak betul tentang Islam.

Malah, beliau turut mempertikaikan media antarabangsa yang sering melabel Islam sebagai pengganas dan memberi gambaran salah tentang istilah jihad.

"Dalam media antarabangsa, ada propaganda tentang Islam dan kita akan dapati setiap hari ialah salah tanggap mengenai Islam. Sama ada dalam surat khabar, majalah, radio dan televisyen. Kita akan jumpa tanggapan, maklumat yang salah tentang Islam.

"Hari ini, menurut saya, media adalah sangat penting. Apa yang media katakan sama ada betul atau salah, orang ramai akan mula percaya," katanya yang memetik surah al-Hujrat supaya memeriksa terlebih dahulu sesuatu perkara sebelum menyebarkannya.

Sementara itu, dalam ceramah yangsama, pendakwah yang berasal dari India itu juga memberitahu bahawa dirinya merupakan seorang yang 'pelampau'.

Bagaimanapun, jelasnya, ia merupakan 'pelampau' yang digalakkan dalam al-Quran.

"Saya beritahu kepada orang ramai bahawa saya ini seorang 'pelampau'. Baik yang melampau, penyayang yang melampau, belas kasihan yang melampau.

"Beritahu saya, apa yang salah menjadi 'pelampau' yang baik, belas kasihan dan penyayang?

"Dalam Quran menyebut bahawa kita perlu menjadi 'pelampau' (dalam) kebaikan, belas kasihan dan penyayang. Tetapi (pelampau) ke arah yang baik dan bukan ke arah yang salah," katanya lagi.

Dalam forum malam tadi, kira-kira 20,000 hadirin membanjiri UTeM bagi mendengar ceramah daripada pendakwah Islam antarabangsa itu.

Ia merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah syarahan Dr Zakir di negara ini selepas Terengganu dan Bukit Jalil.

Selain yang beragama Islam, ia turut dihadiri oleh pelbagai bangsa dan agama yang hadir bagi bertanyakan soalan kepada Dr Zakir dalam forum berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS