IGP: Sukar tentukan tempoh masa bagi siasatan 1MDB
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui adalah sukar bagi menentukan tempoh masa yang diperlukan oleh pihaknya bagi menyelesaikan siasatan ke atas isu 1MDB.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak akan mengambil masa yang lama dalam berbuat demikian.
"Insya-Allah kita tak akan ambil masa yang lama sangat untuk menyelesaikan perkara ini.
"Susah untuk saya cakap siasatan ini sampai minggu depan atau bila. Siasatan ini pun bukan siasatan baru, kita sambung saja siasatan ini," kata Khalid ketika diminta mengulas berapa lama masa yang akan diambil pihaknya dalam menyelesaikan isu 1MDB.
Khalid berkata demikian pada sidang media selepas majlis himpunan bulanan PDRM, di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid meminta agar polis diberikan ruang yang secukupnya untuk menyiasat isu tersebut.
"Biarlah kita siasat dulu dan bila dah selesai siasat kita akan bawa ke Jabatan Peguam negara. Tapi proses siasatan itu kita tidak akan hebahkan, apa kita buat hari ini dan esok kita tak akan hebahkan.
"Kalau hari ini ada perkara yang perlu kita rungkaikan maka kita terpaksalah panggil saksi-saksi," kata Khalid.
Khalid sebelum ini dilapor berkata isu dana 1MDB masih dalam siasatan polis.
Ia susulan selepas Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan masing-masing berkaitan isu itu di Parlimen pada 14 April lalu.
Dakwaan skandal 1MDB kini disiasat oleh pihak berkuasa di enam negara luar, iaitu Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat, Luxembourg, Singapura dan Hong Kong.

