Bekas ahli Umno Langkawi Anina Saadudin telah mematuhi semua peraturan parti dengan membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum memfailkan saman terhadap presiden Umno itu.

Peguamnya, Mohd Haniff Katri Abdulla memberitahu panel tiga hakim mahkamah rayuan hari ini bahawa kesemua ini boleh dilihat dalam kenyataan tuntutan Anina.

"Dia membuat aduan terhadap Najib kepada jawatankuasa disiplin parti tetapi tiada tindakan diambil terhadapnya (Najib). Dia telah memenuhi semua syarat-syarat parti (sebelum memfailkan saman itu).

"Namun, dia dipecat dan mahkamah tinggi yang menolak cabaran beliau terhadap pemecatan itu telah mengabaikan ini," kata peguam itu.

Haniff berkata, tiada apa dalam afidavit Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja Datuk Abdul Rauf Yusoh untuk membantah perkara itu.

Namun, peguam itu berkata hakim membuat keputusan itu semata-mata berdasarkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1988 - bahawa sesuatu tindakan diambil oleh ahli tidak boleh didengar di mahkamah.

Beliau berkata mahkamah tinggi tidak membenarkan anak guamnya untuk mencabar secara perlembagaan Perkara 20.7 perlembagaan Umno yang menyebabkan Anina dipecat.

Haniff berkata, akibat daripada itu, hak kebebasan Anina untuk berpersatuan telah dicabuli.

Peguam itu berhujah terhadap pemecatan Anina daripada Umno ekoran saman yang difailkan terhadap Najib untuk mengembalikan RM2.6 bilion kepada parti.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk David Wong Dak Wah mengetuai panel tiga hakim yang terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Badariah Sahamid dan Harminder Singh.

Muktamad dan konklusif

Peguam Tengku Adnan, Mohd Hafarizam Harun berkata Seksyen 18C Akta Pertubuhan menyebabkan keputusan parti itu sebagai muktamad dan konklusif dan tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata Akta Pertubuhan adalah satu akta Parlimen dan untuk dicabar, ia mesti dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Apabila ditanya oleh Wong dan Badariah sama ada pihak berkenaan boleh memohon untuk mencabar Seksyen 18C kerana Malaysia mengamalkan ketuanan perlembagaan, Hafarizam berkata ia boleh.

"Bagaimanapun, perayu tidak memohon untuk berbuat demikian," katanya.

Hakim Wong berkata beliau tidak mencadangkan bahawa pihak-pihak berbuat demikian tetapi mengandaikannya.

Untuk ini, Haniff berkata isu seperti itu tidak timbul sebelum ini di Mahkamah Tinggi dan sekiranya mahkamah membatalkannya, ia tidak menghalang Anina dari memfailkan permohonan supaya Seksyen 18C diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan.

Seksyen 18C wujud selepas pindaan kepada akta itu ketika krisis Umno 1988 apabila parti itu diisytiharkan haram berikutan cabaran yang dibawa ke mahkamah, dan Umno Baru ditubuhkan. Hakim Wong berkata mahkamah akan menyampaikan keputusannya mengenai perkara itu pada Khamis.