Pembangkang menghadapi cabaran dalam pertarungan kerusi-kerusi yang melibatkan banyak undi pos dalam pilihanraya negeri Sarawak akan datang, berdasarkan sejarah trend mengundi di kalangan kakitangan polis dan askar yang kebanyakannya memihak kepada BN.

"Ia sememangnya pertarungan yang sukar. Terlampau sukar," kata Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen kepada pemberita di Stakan malam semalam.

Sejumlah 25,000 daripada 1.1 juta pengundi berdaftar Sarawak akan dibenarkan untuk menyertai pengundian awal pada 3 Mei ini.

Di Stakan sahaja, sejumlah 7,058 pengundi pos, melibatkan 47.5 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di kawasan itu, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada Khamis lepas.

Kota Sentosa, yang disandang oleh Chong mempunyai 3,170 pengundi pos.

"Anggota tentera, mereka sangat berdisiplin. Mereka dengar cakap ketua apabila tiba masa bertempur. Namun bila tiba waktu mengundi, mereka adalah rakyat Malaysia.

"Kami berharap untuk membawa kesedaran kepada mereka bahawa pilihanraya akan proses demokratik, mereka ada hak untuk memilih kerajaan yang dimahukan," jelas Chong.

Dakwaan salah guna dan ugutan ke atas anggota beruniform adalah suatu trend dalam pilihanraya Malaysia, memuncak semasa pilihanraya umum 2013, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia.

BN memenangi 133 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat, berbanding Pakatan dengan hanya 89 kerusi walaupun parti pemerintah hanya menjana 47.38% undi popular.

Sementara itu, DAP dijangka membariskan calon Melayu di kerusi Stakan iaitu Pembantu Khas DAP, Abdul Aziz Isa yang berumur 26 tahun, cucu kepada bekas gabenor Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub.