Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang bertindak 'menghalau' beberapa ahli parlimen pembangkang yang mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen.

Antara yang berada di situ ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw dan ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang bercakap mengenai 1MDB apabila mereka diminta keluar, berikutan sesi Dewan Rakyat telah tamat.

"Ini Dewan Negara, bukan Dewan Rakyat," kata Abu Zahar kepada mereka ketika beliau melimpasi kawasan lobi berkenaan.

Beliau kemudiannya memberitahu pegawai keselamatan untuk mengusir ahli-ahli parlimen itu, yang memberikan kerjasama dan keluar mengadakan sidang akhbar di luar kawasan lobi.

Kemudian, di dalam Dewan Negara, Abu Zahar menjelaskan tindakan beliau.

"Pembangkang atau tidak jangan ganggu persidangan. Jika Dewan Negara sedang bersidang, ahli parlimen jangan ganggu.

"Begitu juga, semasa Dewan Rakyat sedang bersidang, senator jangan campur tangan.

"Kita mesti hormati Dewan yang sdang bersidang. Saya harap pihak keselamatan tahu tugas mereka," katanya.

Sementara itu, Pua berkata, beliau tidak bertengkar dengan Abu Zahar.

"Saya tidak bertengkar dengan beliau, tetapi sebagai ahli parlimen kita ada hak untuk guna kelengkapan ini.

"Apa yang tidak boleh dilakukan ialah masuk ke Dewan Negara semasa bersidang," tambah Pua.