Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem disenangi oleh lebih 80 peratus rakyat Sarawak, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Merdeka Centre di ambang pilihan raya negeri itu ke-11 bulan depan.

Lonjakan dari 74 peratus pada tinjauan yang dijalankan oleh agensi yang sama pada bulan April 2015 melibatkan 815 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 27% pengundi beragama Islam Bumiputra, 38% bulan Islam Bumiputra dan 36% responden Cina.

"75 peratus responden bersetuju Adenan “membawa perubahan beerti” kepada Sarawak sejak mengambil alih jawatan ketua menteri pada bulan Februari 2014.

"Antara perubahan yang disenangi rakyat ialah penghapusan caj tol jalan raya di beberapa lokasi, pembangunan infrastruktur, pengendalian isu-isu pembalakan haram dan lebih banyak bantuan kebajikan kepada penduduk berpendapatan rendah," jelas Pengurus Penyelidikannya, Tan Seng Keat dalam kenyataan.

Adenan, baru-baru ini mengumumkan bahawa pilihan raya negeri kali ini adalah yang terakhir untuk dirinya, sambil memberi jaminan akan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk rakyat Bumi Kenyalang.

"Saya dah tua, umur dah 72 tahun, pilihan raya kemudian umur saya dah 77 tahun. Saya rasa cukup, tapi sebelum saya meninggal jadi Yang Berhormat (YB), saya ingin meninggalkan macam-macam kemudahan untuk kawasan kita," katanya.

Mengulas lanjut, tujuh peratus responden mengiktiraf betapa Adenan begitu serius dalam usahanya membanteras rasuah manakala 19 peratus responden Cina bersetuju Adenan membawa perubahan baik dalam bidang pendidikan terhadap masyarakat tersebut.

Sementara itu, dalam tinjauan yang sama, lebih daripada satu pertiga responden tidak dapat menyediakan penilaian ke atas pemimpin pembangkang Sarawak, Baru Bian dari PKR atau Chong Chieng Jen dari DAP.

Bagaimanapun, 31% daripada responden berpuas hati dengan prestasi Baru Bian manakala 27% responden adalah sebaliknya dengan lebih separuh daripada responden Cina tidak mengenali beliau.

Mengenai Chong pula, beliau mendapat penarafan positif sekitar 36% dengan 27% tidak berpuas hati manakala 37% responden tidak mengenali beliau.

"Chong mencapai penarafan yang tinggi di kalangan pengundi Cina (62% berpuas hati) tetapi hampir satu perdua daripada responden Bumiputera tidak mengenali beliau," tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun, majoriti (56%) daripada responden bersetuju bahawa Sarawak memerlukan barisan pembangkang yan lebih kuat.

Tinjauan ini dijalankan antara 20 hingga 26 Januari 2016 untuk meninjau persepsi pengundi dalam perkembangan semasa di Sarawak yang dijalankan menerusi wawancara menerusi telefon kediaman dan telefom bimbit.