Dengan menipu, WSJ tak akan menang Pulitzer - Gerakan
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mendedahkan alasan di sebalik kegagalan The Wall Street Journal untuk merangkul hadiah Pulitzer bagi siri artikelnya mengenai skandal 1MDB walaupun disenarai pendek dan dicalonkan.
Menurut beliau, peluang WSJ digagalkan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir.
Beliau merujuk kepada kenyataan menteri itu yang berkata bahawa kerajaan Arab Saudi sedar mengenai derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bahawa sumbangan itu diberikan tanpa mengharapan sebarang balasan.
"Mungkin WSJ boleh memenangi hadiah Pulitzer jika menteri Arab itu tidak mendedahkan sebenarnya ia adalah sumbangan kepada Najib. Penipuan tidak akan menang. Sebaliknya, etika yang akan menang, " kata Tan dalam tweet.
Terdahulu, pemimpin Gerakan itu membidas WSJ berhubung laporan terbarunya, yang disifatkannya sebagai satu lagi putar belit dan mencabar akhbar berkenaan membekalkan bukti.
Laporan itu mendakwa sebahagian wang daripada syarikat palsu Aabar berakhir di Tanore Finance Corp yang juga berpangkalan di Kepulauan British Virgin, entiti sama yang memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.
1MDB dilapor memindahkan AS$3.5 bilion kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kepulauan British Virgin yang mempunyai nama yang sama dengan anak syarikat, International Petroleum Investment Company (IPIC) - Aabar Investments PJS - tetapi tidak mempunyai kaitan dengan firma milik dana Abu Dhabi itu.
Walau bagaimanapun, Tan kekal tidak yakin.
"Mengapa Menteri Luar Arab mahu berbohong? Mengapa beliau perlu mengesahkan bahawa sumbangan itu adalah kepada PM jika perkara ini tidak benar? Kemukakan, logik," katanya di laman sosial.
Pemimpin Gerakan itu juga mengkritik pemimpin pembangkang dan penyokongnya kerana mempercayai laporan sedemikian.
"Paling teruk adalah penyokong pro-pembangkang yang menyokong tuduhan tidak berasas oleh tabloid asing itu untuk memburukkan imej negara kita," katanya.

