Pindaan supaya hanya syarikat Islam cetak naskah surah Yassin
Pindaan Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 akan dibentang di Parlimen pada Oktober depan bagi memperluaskan istilah 'bahan al-Quran' berbanding hanya istilah 'teks al-Quran' ketika ini yang merujuk kepada penggunaan satu juzuk dan ke atas sebagai usaha menjaga kesucian kitab berkenaan.
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Hashimah Nik Jaafar berkata sekiranya diluluskan, ia antara lain akan menetapkan hanya syarikat percetakan Islam dibenar mencetak naskah surah Yassin kerana akta sekarang tidak mengawal syarikat bukan Islam mencetaknya.
"Kita lihat ramai buat kad kahwin dengan cetakan ayat al-Quran, sedangkan kita bagi (kad) kepada semua bangsa dan agama.
“Selepas itu, kita tidak tahu kad itu ke mana, ada kanak-kanak jadikan ia mainan sedangkan ini soal kesucian ayat al-Quran," katanya yang dipetik Bernama selepas sesi 'Townhall' Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN bersama pihak-pihak berkepentingan di Ipoh hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hashimah berkata perkembangan perniagaan secara dalam talian berkait rapat dengan kemasukan pelbagai penerbitan terlarang ke negara ini yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
Menurutnya, perniagaan dalam talian membolehkan sesiapa sahaja membuat tempahan daripada mana-mana penjual sama ada dalam atau luar negara.
"Tempahan dalam talian ini menyukarkan kita membuat sekatan terhadap barangan apa yang diterima atau ditempah oleh seseorang kerana ia dihantar terus ke alamat si penerima.
"Kadang-kadang penyedia perkhidmatan tidak akan tanya apa kandungan yang dihantar, peniaga pun tidak isytihar apa yang dihantar," katanya.
Hashimah memberi contoh, pihaknya pernah merampas sepasang jaket yang di bahagian dalamnya tertulis pelbagai ayat serta perkataan dalam bentuk pengekodan yang sukar dibaca.
"Kami terpaksa mencari pihak tertentu untuk tolong terjemahkan apakah maksud ayat-ayat dan perkataan itu, sebabnya ia bukan tulisan biasa," katanya, menambah bahawa selain pakaian, turut dirampas pelbagai majalah dan buku.

