PAS: Apa perkembangan pelantikan gabenor baru Bank Negara?
Ekoran perkembangan terbaru membabitkan 1MDB, rakyat masih tertunggu-tunggu siapakah yang bakal menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bukan itu sahaja, tambahnya, hasrat Tan Sri Zeti untuk melihat isu 1MDB selesai sebelum beliau bersara "nampaknya susah kesampaian".
"Pengganti Tan Sri Zeti dijangka akan terus memikul tugas menyelesaikan masalah 1MDB.
"Oleh itu, pengganti beliau mestilah dari kalangan yang berwibawa, bebas daripada pengaruh politik, berani, tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Tan Sri Zeti," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.
PAS menegaskan mereka yang pernah melibatkan diri dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik BN, mestilah ditolak sebagai calon gabenor Bank Negara yang baru.
"Bank Negara adalah satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik," tambahnya.
Katanya, jika pengganti yang sesuai belum dapat disepakati, PAS mendesak agar Zeti diberikan lanjutan kontrak bagi memenuhi hasratnya melihat isu 1MDB diselesaikan sebelum beliau bersara.
Rakyat, katanya, masih menanti jaminan perdana menteri bahawa Bank Negara akan bebas dari campurtangan ahli politik.
"Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti Bank Negara dapat dipertahankan.
"Peringatan Tan Sri Zeti bahawa Bank Negara perlu kekal sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik perlu diambil serius," tambahnya.

