Nufam: Pengunduran Mueller dalam MAB memang dijangka
Dengan pengunduran Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) pada September ini, syarikat penerbangan kebangsaan itu akan berdepan dengan lebih banyak masalah, kata Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam).
"Kami jangkakan dengan pengunduran mengejut Mueller, pasti akan membawa satu lagi bab mengenai masalah dalam MAB," kata Nufam dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kesatuan itu berkata, mereka tidak terkejut dengan keputusan Mueller untuk mengundurkan diri sebelum kontraknya tamat dalam tempoh dua tahun.
Menurut Nufam, Mueller mungkin tidak dapat mengatasi masalah tersirat dalam syarikat penerbangan itu.
"Terdapat isu-isu yang tidak berkesudahan yang belum selesai dan tidak dibincangkan di luar bilik mesyuarat.
"Bagaimanapun kami menjangkakan perkara ini akan berlaku, tetapi tidak terfikir ia akan berlaku sebegitu cepat," kata kesatuan itu.
Seperti jangkaannya tahun lalu, Nufam berkata, cabaran Mueller sebenarnya lebih besar daripada sekadar memulihkan kerugian MAB.
"Ia juga mengenai legasi dan politik yang menghalang tugasnya," katanya.
Nufam berkata kesatuan itu dimaklumkan bahawa beberapa idea diketepikan pada saat akhir dan keputusan ditukar tanpa perbincangan dengan Mueller.
Adalah dipercayai Mueller tidak lagi mampu berdepan dengan politik dalaman MAB, apatah lagi persaingan sengit dengan syarikat penerbangan lain.

