Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rokok: Jadilah seperti Australia, UK, Perancis - MCTC
Diterbitkan:  Apr 20, 2016 12:15 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) mendesak pengilang rokok agar mengamalkan pembungkusan kosong ke atas bahagian luar kotak produk mereka, kata bendahari agungnya, Muhammad Sha’ani Abdullah.

Pembungkusan kosong tanpa nama, warna, logo, imej jenama dan maklumat promosi kecuali nama jenama dan produk itu akan mengurangkan daya tarikan selain menghadkan pengiklanan jenama itu.

“Kebanyakan kanak-kanak tidak tahu nama jenama rokok tetapi mereka ingat menerusi imej dan warna pembungkusan.

"Mereka kenali gambar lelaki koboi menunggang kuda atau tagline yang dicetak berwarna emas,” tambah Muhammad Sha’ani, sambil merujuk kepada beberapa produk tembakau terkenal di negara ini.

Malaysia dianggarkan mempunyai lebih empat juta perokok tegar dan jumlah tersebut dijangka bertambah dengan lebih ramai wanita dan golongan remaja mula merokok di usia purata sekitar 19 tahun.

Sejajar dengan 'Hari Tanpa Tembakau 2016' pada 31 Mei akan datang, MCTC akan memperjuangkan isu pembungkusan kosong luar kotak rokok yang selaras dalam semua jenis produk tembakau seperti seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Artikel 11 dan 13 Konvensyen Kerangka WHO mengenai Kawalan Tembakau, adalah disarankan agar semua pihak yang terlibat dengan industri tembakau mengadaptasikan pembungkusan kosong.

Kenyataan MCTC turut mendedahkan Australia menjadi negara pertama yang mengadaptasikan pembungkusan kosong pada bulan Disember 2012 manakala Ireland, UK dan Perancis akan meluluskan undang-undang yang sama mulai bulan Mei ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS