Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu dengan PAS, pemimpin Umno sambut gesaan Zakir
Diterbitkan:  Apr 20, 2016 3:40 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Kepimpinan Umno menyambut baik seruan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik agar parti Melayu itu bergabung dengan PAS dengan membentuk kerajaan campuran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ( gambar ) berkata seruan tersebut datang daripada pihak yang tidak berkepentingan.

“Mungkin sebelum ini pihak PAS agak tidak begitu sedar lagi tentang kepentingan untuk kesatuan ini. Mungkin PAS anggap seruan yang datang dari kepimpinan Umno ada kepentingan sendiri.

“Tetapi Zakir yang bercakap, dia tidak ada kepentingan politik dan peribadinya. Dia bercakap sebagai seorang intelektual Islam, yang melihat kepentingan Islam dan itu bezanya,’ kata Tajuddin kepada Malaysiakini .

Justeru, Tajuddin mahu PAS melupakan segala sejarah hitamnya bersama Umno sebelum ini demi Islam.

“Kita sepatutnya lupakanlah yang sudah-sudah, maju ke hadapan dengan satu pendekatan baru yang sesuai dengan ajaran agama Islam dan kita sebagai umat Islam perlu mengikut ajaran yang ditetapkan untuk keselamatan dan kesejahteraan umat kita,” tegas anggota Parlimen Pasir Salak itu.

Dalam rakaman program bual bicara TV Alhijrah semalam, Zakir berkata kerajaan campuran Umno dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyentuh lanjut bentuk kerajaan campuran itu.

Aziz Kaprawi: Harapan majoriti

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Aziz Kaprawi ( gambar ) pula berkata seruan Dr Zakir baik bagi mewujudkan keharmonian negara.

“Ini pandangan yang baik kerana ini akan mewujudkan keharmonian masyarakat seterusnya membawa keamanan negara.

“Ini yang diharapkan oleh majoriti rakyat,’ kata Aziz kepada Malaysiakini .

Kata Aziz lagi, beliau tidak mahu perpecahan umat Islam seperti di Syria yang membawa kesengsaraan kepada rakyatnya yang terpaksa menjadi pelarian.

Lihat Komen
ADS