Kepimpinan PAS berbelah bagi dalam menyambut seruan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik supaya parti Islam itu bergabung dengan Umno dalam kerajaan campuran.

Sebahagian mereka berpegang kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS Januari lalu bahawa PAS tidak akan menyertai BN.

Bagaimanapun, Dewan Ulama PAS berpendirian berbeza apabila masih terbuka untuk berbincang dengan perdana menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ( gambar ) dalam kenyataan berkata mereka tetap dengan pendirian sebelum ini.

“PAS sentiasa berpegang kepada dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

“PAS juga berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang telah bersidang pada 2 Januari 2016 yang mengesahkan perkara sebagaimana di atas di samping menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN,” kata Takiyuddin.

Dalam rakaman bual bicara TV AlHijrah semalam Dr Zakir berkata kerajaan campuran Umno dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Dr Zakir Naik berkata jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam.

Idris: Pandangan orang luar

Sementara itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad ( gambar ) pula menyifatkan seruan Dr Zakir sebagai pandangan orang luar.

“Pendirian PAS jelas bahawa tidak timbul soal kerajaan campuran Umno-PAS dan ia tidak akan berlaku.

“Itu pandangan dia (Dr Zakir) sebagai orang luar dan terpulang kepada beliau.

“PAS tak perlu bergabung dengan Umno sebaliknya ahli Umno itu kena masuk PAS,” tegas Idris ketika dihubungi Malaysiakini .

Zawawi: Bincang dulu

Namun, Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ( gambar ) berkata perbincangan harus dibuat terlebih dahulu.

“Kena tanya dia (Dr Zakir). Kalau kenyataan Najib saya akan komen. Setakat ini kita tak ada komen, nanti kita akan bincang dengan Najib dulu,” kata Nik Zawawi.

Ketika berceramah di negara ini, Zakir dirakam bertemu dengan Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kerjasama antara kedua-dua parti kini tidak semestinya dalam bentuk gabungan antara kerajaan.

Sebaliknya, anggota parlimen Kuala Nerus itu berkata apa yang penting kini adalah pemerintah memberikan hak sama rata kepada pemimpin pembangkang.

"Untuk realiti semasa sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 14 BN sebagai kerajaan memerintah di peringkat persekutuan boleh menunjukkan sikap kerjasama dengan memberi hak dan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sebagaimana dinikmati oleh wakil rakyat kerajaan BN, membanyakkan lagi projek persekutuan di negeri seperti Kelantan.

"Dalam masa yang sama segala kepincangan pengurusan dan kewangan yang dikritik oleh rakyat perlu segera diperbetulkan," tambah Khairuddin kepada Malaysiakini .