Di sebalik tindakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengeluarkan amaran keras terhadap enam pengusaha balak selepas menerajui negeri itu pada 2014, beliau melawat lima daripada mereka selepas mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri.

Mesejnya - undi BN - disebarkan ketika perjumpaan dengan kakitangan syarikat pembalakan di negeri itu.

Enam syarikat gergasi pembalakan di negeri itu adalah adalah KTS Trading, Rimbunan Hijau, Samling, Shin Yang, Ta Ann dan WTK Holdings Berhad.

Setakat ini, Adenan sempat melawat KTS (8 April), Rimbunan Hijau (14 April), Ta Ann (19 April), Samling (19 April) dan Shin Yang (20 April). Tiga syraikat yang pertama disebutkan itu berpangkalan di Sibu manakala dua yang terakhir adalah di Miri.

Menurut laporan akhbar tempatan berbahasa Cina dan Inggeris, Adenan menggesa pekerja syarikat berkenaan untuk menyokong parti pemerintah semasa lawatannya itu.

Menurut pemerhati politik, politik Sarawak dan balak adalah sesuatu yang sukar dipisahkan.

Bagi Profesor Madya Andrew Aeria dari Universiti Malaysia Sarawak, Adenan tidak mampu untuk kehilangan sokongan besar enam syarikat gergasi itu.

"Ini sangat jelas, orang-orang ini (tauke balak) mengawal ekonomi. Beliau (Adenan) terpaksa jumpa mereka.

"Ini adalah pengaruh perniagaan dalam politik," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Seorang penganalisis politik kelahiran Sarawak, James Chin bersetuju dengan Aeria dan berkata kempen anti-rasuah Adenan hanya "wayang kulit".

Katanya, Adenan tidak berbeza dengan ketua menteri sebelumnya, iaitu Tun Abdul Taib Mahmud yang juga terpalit dalam skandal balak.

[Baca berita penuh]