'Pendidikan hadis belum cukup kuat lawan Syiah'
Penerapan hadis dalam sistem pendidikan hari ini belum tentu cukup kuat untuk menentang dan menyekat fahaman Syiah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata ini kerana penularan ancaman fahaman itu kini tiada sempadan.
"Walaupun 20 ke 100 hadis belum tentu kita cukup kuat untuk berhadapan dengan penularan ancaman fahaman Syiah di negara dunia tanpa sempadan hari ini," kata Asyraf pada sidang media di Seminar Antarabangsa Gerakan Syiah Dan Kesannya Terhadap Dunia Islam 2016 di Universiti Kebangsaan (UKM) hari ini.
Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah Din, seorang pakar pengkaji Syiah mengenai ancaman fahaman itu kepada umat Islam.
Abdullah ketika berucap dalam seminar itu berkata pendidikan hadis yang tidak dititik beratkan antara punca fahaman itu sukar dibendung.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata agenda menangani pemesongan akidah, ajaran sesat atau fahaman yang boleh mengancam akidah harus dilakukan semua pihak bukan saja pemerintah tetapi NGO, ahli akademik dan cendiakawan.
Katanya, sebab itu seminar sebegini harus dianjurkan dari semasa ke semasa.
"Ini perkara yang perlu kita semarakkan supaya tanggungjawab mempertahankan agama ini menjadi tanggungjawab semua, bukan kepada pemerintah semata-mata.
"Kalau kita hanya menuding jari pada pihak tertentu, sampai bila pun kita akan menemui kelompongan dan kelemahan," kata Asyraf.
Tegas Asyraf lagi, dalam dunia tanpa sempadan hari ini kerajaan tidak lagi boleh melakukan sekatan terhadap fahaman tersebut secara bersendiri.
"Kita berada dunia tiada sempadan, cara nak tangani harus secara sinergi iaitu bersama dan tak boleh bersifat bersendiri. Kita harus bersifat permuafakatan, bekerjasama," tambah Asyraf.

