Negeri digesa haramkan kahwin pengikut Syiah
Jawatankuasa Fatwa di setiap negeri di Malaysia digesa mengeluarkan fatwa bagi mengharamkan perkahwinan umat Islam di negara ini dengan pengikut ajaran Syiah.
Pakar pengkaji Syiah, Abdullah Din berkata fatwa tersebut penting supaya langkah itu dapat mengelakkan konflik jika pasangan bercerai.
Selain itu beliau juga menggesa jabatan agama dan mufti seluruh negara mengeluarkan fatwa mengenai hukum menghidangkan makanan kepada pengikut Syiah seperti isu penyembelihan.
"Termasuk juga isu perkahwinan sebab isu ini kalau fikir jangka masa panjang, soal hak tuntutan fasakh bagi pasangan yang kahwin dengan pengikut Syiah, hak hadanah penjagaan anak-anak, tuntutan selepas penceraian dan banyak lagi yang belum diselesaikan jawatankuasa fatwa.
"Setakat yang saya tahu, Perlis pun (keluarkan fatwa) makruh, macam hukum rokok daun.
"Harap mufti Perlis buat sesuatu untuk ahli Sunnah Waljamaah, mufti ada peranan besar," katanya ketika ditemui pemberita di seminar antarabangsa 'Gerakan syiah dan kesannya terhadap dunia Islam' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Mengulas lanjut, Abdullah mahu isu ini dibincangkan secara serius jawatankuasa fatwa semua negeri memandangkan pihaknya tidak mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa.
"Kalau dibiar ia akan menyebabkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan para ustaz," tegas Abdullah.
Kata Abdullah, sekiranya jawatankuasa fatwa memutuskan perkara tersebut secara, maka agenda negara untuk menyekat fahaman ini akan berjaya.
"Ia perlu diwartakan dan bila diwartakan ia akan berfungsi di setiap negeri. Kuasa yang ada pada negeri sangat kuat melebihi peringkat kebangsaan.
"Kita nak kalau boleh biar ada pendirian jelas supaya masyarakat tidak terus keliru," kata Abdullah.
Selidik pasangan sebelum kahwin
Terdahulu Abdullah dalam ucapannya menyeru masyarakat Islam agar menyelidik terlebih dahulu pasangan sebelum berkahwin.
Malah, Abdullah berkata banyak cara boleh digunakan bagi mengenal pasti sama ada pasangan mereka berfahaman Syiah atau Sunni.
"Setiap pasangan Islam kena selidik pasangan mereka sebelum kahwin. Bukanlah saya nak ajak ragui pasangan masing-masing tapi ada simptom tertentu boleh kenal Syiah ini.
"Pertama sekali tanya apa pandangan mereka tentang Syiah, kalau dia pertahankan Syiah jelas, lebih baik tak terima mereka," kata Abdullah.
Pada November 2012, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengeluarkan fatwa menasihati umat Islam yang ingin berkahwin, agar tidak memilih pengikut Syiah sebagai pasangan hidup.
Muftinya ketika itu, Datuk Dr Juanda Jaya berkata selain menjaga akidah umat Islam di negara ini yang mengamalkan fahaman Sunnah Wal Jamaah, langkah itu juga dapat mengelakkan konflik jika pasangan bercerai.

