Kira-kira 50 penternak lembu di Kampung Padang Siam di Tanah Merah resah apabila sumber bekalan air bagi kegunaan lebih 100 ekor lembu mereka semakin susut dan kering akibat cuaca panas dan kering berikutan fenomena EL Nino.

Mereka mendakwa parit, telaga dan kolam di kawasan mereka sering menambat ternakan itu semakin kering berikutan fenomena tersebut yang melanda negara sejak Januari lepas.

Seorang penternak Shafii Yusoff, 75, berkata berikutan itu penternak di kampung berkenaan terpaksa bergantung kepada sebuah telaga sedalam 10 kaki bagi mendapatkan bekalan air bagi ternakan mereka.

"Hampir sebulan kami terpaksa bergantung kepada telaga tersebut namun air telaga itu semakin hari semakin susut kerana hujan tidak turun.

"Malah, kami terpaksa mengheret lembu dua kali sehari ke telaga berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan padang ragut," katanya kepada Bernama.

Shafii berkata ada sebahagian penternak terpaksa mengisi air ke dalam tong selepas lembu mereka tidak mahu minum air telaga yang bercampur lumpur.

Seorang lagi penternak Siti Mariam Samad, 51, berkata pihak berwajib perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut daripada terus berlarutan.

"Kami tiada pilihan melainkan menggunakan kaedah ini. Sungai ada, tapi terletak kira-kira 15 kilometer dari kampung.

"Penduduk tak berani lepaskan ternakan di tepi sungai kerana bimbang lembu dicuri," katanya.

- Bernama