Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian Luar: Tiada asas dalam laporan hak asasi Amerika
Diterbitkan:  Apr 22, 2016 11:27 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Kementerian Luar membidas Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dalam laporannya menyenaraikan dasar mengutamakan orang Melayu oleh kerajaan Malaysia sebagai antara pelanggaran hak asasi manusia di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata, Laporan Amalan Hak Asasi Manusia 2015, yang dikeluarkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry adalah berdasarkan maklumat yang tidak berasas dan sebahagian besarnya bergantung pada sumber-sumber yang objektivitinya boleh dipersoalkan.

“Kerajaan Malaysia kesal bahawa dakwaan yang terkandung dalam laporan berkenaan bersifat selektif dalam memberi gambaran yang negatif terhadap kerajaan Malaysia, serta tidak mengambil kira usaha-usaha kerajaan Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia.

“Laporan tidak berasas Amerika Syarikat ini disediakan tanpa melibatkan konsultasi rasmi dengan pihak kerajaan, walaupun Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan dua hala yang baik.

Laporan itu, menurut Kementerian Luar, mencerminkan penilaian Amerika Syarikat yang berat sebelah berhubung perspektif kerajaan serta mengabaikan komitmen dan usaha kerajaan Malaysia berkaitan amalan hak asasi manusia di Malaysia.

“Amerika Syarikat terus mengabaikan hak kedaulatan Malaysia dalam menentukan hal ehwal dalamannya, yang mengambil kira keadaan sedia ada dan ancaman kepada masyarakatnya serta tanggungjawab kerajaan untuk melindungi keselamatan negara dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negara ini.

“Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang progresif dan dinamik dengan Amerika Syarikat dan percaya bahawa hubungan tersebut mampu diperkukuhkan lagi sekiranya Amerika Syarikat memahami dengan jelas isu-isu domestik di Malaysia,” katanya.

Sambil menyatakan kerajaan Malaysia terus komited dalam memastikan kenikmatan kebebasan hak asasi, Kementerian Luar juga berkata kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan setiap rakyat menikmati kebebasan hak asasi tanpa menjejaskan hak orang lain atau ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.

Laporan berkenaan yang dikeluarkan minggu lalu, menyatakan bagaimana dasar-dasar berasaskan kaum menyumbang kepada jurang perbezaan ekonomi melebar di kalangan masyarakat bumiputera.

Ia juga menamakan pendakwaan ke atas mereka yang tidak sehaluan, penahanan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kes liwat pada Februari 2015 sebagai antara pencabulan hak asasi.

Laporan itu juga menyatakan bahawa terlalu kurang pemantauan berhubung keberkecualian polis, termasuk kematian atau penderaan dalam kes-kes tahanan..

Pelanggaran hak asasi manusia lain termasuk:

  • Pengharaman terhadap kumpulan agama, sekatan untuk murtad dan kebebasan menukar agama;
  • Penahanan tanpa bicara;
  • Rotan sebagai satu bentuk hukuman;
  • Rasuah di kalangan pegawai;
  • Keganasan dan diskriminasi terhadap wanita;
  • Diskriminasi terhadap lesbian, gay, biseksual, transgender dan masyarakat interseks;
  • Sekatan hak pendatang, termasuk pelarian dan mangsa pemerdagangan orang; dan
  • Sekatan ke atas aktiviti kesatuan dan perundingan kolektif.

Lihat Komen
ADS