Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada jalan pintas ke syurga
Diterbitkan:  Apr 22, 2016 2:53 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan bahawa fahaman berkaitan jihad yang ekstrim harus dielakkan.

Menurut teks khutbah hari ini, prasyarat ke syurga adalah melalui iman kepada Allah dan amal soleh seperti diajarkan Nabi Muhammad.

“Dalam erti kata lain, tidak ada jalan singkat untuk ke syurga kecuali dengan jalan syariat yang lurus lagi benar,” menurut teks itu.

“Sewajarnya perkara ini menyedarkan golongan yang cuba menyelewengkan ajaran Islam melalui slogan jihad fi sabilillah (di jalan Allah) dalam sudut pandang yang sempit sehingga memudaratkan umat Islam itu sendiri.”

Mimbar juga menegaskan bahawa jihad qital (perang) ialah urusan pentadbiran negara yang perlu menepati maqasid syariah atas maslahah umum.

Tambahnya, selagi tidak mendapat keizinan pemerintah dan menepati kaedah, ia adalah ancaman yang boleh memberi impak negatif terhadap keselamatan rakyat dan negara.

“Malah dalam sesetengah situasi, Rasulullah SAW tidak membenarkan umat Islam yang mempunyai ibu bapa untuk berjihad sekiranya tidak diizinkan, sekalipun jihad itu amalan yang paling baik,” katanya.

Berdasarkan sirah nabi pula, kata khutbah, baginda SAW sangat membenci keganasan, apatahlagi mencetuskan peperangan.

Justeru, menurut khutbah, umat Islam wajib memperbetulkan kesilapan tafsiran bahawa pengertian jihad itu adalah menyebarkan Islam dengan pedang dan keganasan.

“Ya, mungkin pedang berjaya menakluk negeri tetapi ia tidak mampu untuk menakluk hati dan akal manusia.

“Usahlah kita hanya pandai untuk mati berperang tetapi tidak pandai untuk hidup demi Islam,” katanya.

Malaysia antara negara kelihatan serius berkempen menentang ancaman keganasan global, terutamanya daripada kumpulan bersenjata IS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS