Pengumuman pengunduran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari Jerman baru-baru ini menghangatkan semula perdebatan mengenai 'kebijaksanaan' kerajaan dalam memilih warga asing untuk menerajui syarikat penerbangan negara itu.

Ia juga berpotensi untuk menghadkan pilihan kumpulan itu dalam tercari-cari pemimpin baru di tengah-tengah rombakan radikalnya.

Christoph Mueller, warga Jerman yang dikatakan berjaya memulihkan firma penerbangan Aer Lingus, menerajui MAB mulai bulan Mei 2015 dengan kontrak selama tiga tahun, dalam cubaan untuk memulihkan firma itu selepas kehilangan dua pesawat Boeing 777 dalam masa kurang dari setahun.

Antara yang disebut-sebut untuk menggantikan beliau untuk jawatan itu ialah Ketua Pegawai Operasi MAB, Peter Bellew yang berasal dari Ireland dan kini menduduki kerusi salah seorang pengarah firma itu, kata sumber industri.

Calon-calon lain ialah Datuk Seri Shazalli Ramly yang menerajui Celcom Axiata Bhd dan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam industri penerbangan. Shazalli menyertai lembaga pengarah MAB tahun lepas.

“Ia adalah firma strategik nasional yang melibatkan maruah negara. Ketika mereka menggajikan (Mueller), mereka tidak boleh hanya berkata mereka tidak menjangka hal begini daripada mula,” ujar Tian Chua, naib presiden PKR.

Parti itu telah menasihatkan kerajaan pada tahun 2014 bahawa adalah 'tidak adil' untuk menggajikan warga asing untuk pekerjaan itu.

“Kerajaan tidak mempertimbangkan secara tulus semua faktor yang memberi kesan atas keputusan ini.” tambahnya.

Mengejutkan termasuk mereka yang rapat dengan beliau, Mueller mengumumkan pengundurannya atas alasan keluarga Selasa yang lalu, tanpa memberi butiran lanjut. Beliau akan meninggalkan MAB pada September ini, walaupun kekal sebagai pengarah bukan eksekutif.

Dengan sedikit butiran untuk bergerak selanjutnya, ahli politik, surat khabar dan media sosial telah menyalahkan pengunduran itu atas semua sebab daripada ketidak setujuan dalaman hinggalah pergeseran antara politik dengan Khazanah Nasional Berhad.

Mueller menafikan khabar-khabar angin dalam pertemuan dengan kakitangan MAB, menurut laporan akhbar. Kerajaan belum mengulas mengenai perkara itu, manakala Khazanah pula berkata pihaknya mahu Mueller meneruskan perkhidmatan, namun menghormati keputusan beliau pada masa yang sama.

MAB berkata sebarang komen mengenai pengganti Mueller adalah spekulasi buat masa ini.

Pendatang baru industri

Namun, apa jua alasan sebenar, kata penganalisa, debat baru mengenai pilihan warga asing untuk jawatan nombor satu dalam MAB akan hanya memeningkan kerajaan dan firma penerbangan itu, yang menjangka Mueller memberi jalan kepada pengganti tempatan kali ini.

“Untuk kestabilan, calon dalaman difikirkan lebih baik, tetapi siapa tahu,” kata Mohsin Aziz, penganalisa Maybank Investment Bank di Kuala Lumpur.

Shazalli Ramly, jika dilantik, bukan eksekutif pertama yang tidak mempunyai latar belakang industri penerbangan untuk mentabdir firma penerbangan dengan jayanya - Kazuo Inamori berjaya memulihkan Japan Airlines (JAL) tanpa sebarang pengalaman sebelum ini dalam pengurusan penerbangan.

Namun lantikan dan gantian sedemikian adalah janggal.

Siapa jua pengganti akan diharapkan untuk meneruskan apa yang telah dimulakan oleh Mueller - dan ia menjadi lebih mencabar, ramal penganalisa, dalam keadaan negara yang mengendalikan firma tersebut yang mempunyai kesatuan sekerja yang mempunyai hubungan rapat dengan parti pemerintah.

“(Mueller) menjadi firma penerbangan itu lebih profesional dan saya tidak tahu sama ada ia akan berterusan selepas pengunduran beliau,” ujar eksekutif sebuah firma.

- Reuters