Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuai rumah hargai hadiah istimewa Tangki 1Malaysia

Perjalanan dari pekan Sri Aman ke Rumah Panjang Kampung Pakit B mengambil masa kira-kira 30 minit melalui jalan berliku-liku.

Rumah panjang di kampung itu diperbuat daripada batu-bata serta bercat, tidak ubah seperti rumah teres moden, lengkap dengan bekalan elektrik, bekalan air dan televisyen satelit.

Tuai Rumah, Segnel Ayok, 50, berkata kemudahan seperti elektrik dan air bukan perkara baharu kepada 200 penghuni di situ kerana kerajaan telah menyediakannya secara berperingkat-peringkat sejak 30 tahun dahulu.

"Kami juga mendapat 'hadiah istimewa' Tangki 1Malaysia tahun lalu," katanya kepada Bernama .

Ia merupakan penyelesaian jangka pendek kerajaan terhadap masalah tekanan air rendah di kawasan itu susulan kerosakan paip.

"Dengan adanya Tangki 1Malaysia ini, kami tidak perlu lagi angkut air dari sungai berdekatan dan membeli air dari pekan untuk kegunaan harian semasa masalah bekalan air rendah berlaku," katanya.

Suri rumah Connie Stell, 40, berkata mereka bersyukur kerana masih dapat dibekalkan Tangki 1Malaysia bagi setiap unit rumah di rumah panjang itu untuk kegunaan harian.

"Kedudukan rumah panjang ini terletak di kawasan bukit menyebabkan tekanan air rendah dan kadang-kala air yang disalurkan oleh paip tidak kesampaian.

"Kami cuma mengharapkan kemudahan paip yang disalurkan dari loji dapat dinaik taraf untuk memudahkan kegunaan harian kami," katanya.

Sementara itu, Penguasa Jabatan Bekalan Air bahagian Sri Aman, Robert Manjan berkata penduduk kampung itu bakal menikmati bekalan air bersih sepanjang masa apabila kerja-kerja menaik taraf sistem paip air di kawasan itu siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

Robert berkata oleh kerana kediaman dan rumah-rumah panjang terletak di kawasan bukit, jumlah air yang disalurkan sangat kecil dan kadang-kala tiada disebabkan tekanan air rendah kerana kerosakan paip.

"Kami telah membaiki dan menaik taraf paip-paip air sejak tahun lepas untuk menyalurkan air bersih kepada penduduk.

"Kami jangkakan kerja-kerja meian taraf ini akan siap dalam masa tiga hingga empat bulan dan penduduk-penduduk tidak perlu risau lagi," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS