Malaysiakini telah memanggil semula wartawannya Kow Gah Chie dari Sibu atas sebab-sebab keselamatan.

Ketua Editor Malaysiakini Steven Gan hari ini berkata, keputusan itu dibuat berikutan peredaran gambar Kow di media sosial, selepas dia menulis satu artikel yang didakwa mengelirukan dengan memetik kenyataan ADUN BN Nangka Annuar Rapaee.

"Walaupun kami telah memanggil semula Gah Chie atas sebab-sebab keselamatan, Malaysiakini akan terus membuat liputan pilihan raya negeri Sarawak dengan beberapa wartawan lain," kata Gan.

Artikel yang disiarkan Khamis lepas melaporkan bahawa Annuar telah meminta rakyat Sarawak mengundi BN pada pilihan raya negeri "supaya pemimpin Islam boleh terus menerajui kerajaan Sarawak".

Kemudian pada hari yang sama, Annuar bagaimanapun mendakwa kenyataan beliau telah diambil di luar konteks.

Malaysiakini mempertahankan laporannya yang juga memetik Annuar menafikan bahawa beliau bermain sentimen kaum dan agama.

Polis Sarawak dilaporkan mengesahkan bahawa Kow disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

The New Straits Times hari ini memetik Penolong Pesuruhjaya Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar sebagai berkata kes itu sedang disiasat berdasarkan enam laporan dibuat terhadap Kow.

Dev, bagaimanapun memberitahu The New Straits Times bahawa beliau tidak dapat mengesahkan laporan yang beredar di media sosial bahawa wartawan itu didakwa meninggalkan negeri itu tiba-tiba semalam.

"Kita tidak sedar bahawa dia telah diminta untuk meninggalkan Sarawak oleh majikannya," beliau dilaporkan berkata.

Gan pula berkata bahawa laporan polis itu merupakan percubaan terbaru untuk menakut-nakutkan wartawan di Malaysia.

"Ini bertujuan membawa kesan yang menakutkan ke atas media menjelang pilihan raya negeri. Kita tidak harus tunduk kepada gangguan itu," tegas Gan.

Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan merujuk kepada siasatan ke atas sesiapa yang membuat, menyiarkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat untuk menghasut orang awam.