Pemuda PAS Pusat mahu membawa kepada Majlis Raja-Raja isu tindakan Kabinet mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menarik balik saman terhadap 100 pesalah Islam yang ditahan ketika berada di disko Zouk di Jalan Ampang, bulan lalu.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan berbuat demikian sekiranya usaha-usaha lain, termasuk membawa usul mengenainya ke sidang Dewan Rakyat pada 21 Mac ini, menemui jalan buntu.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi membantah campurtangan kerajaan dalam isu tersebut di Masjid Kampung Baru hari ini, Salahuddin berkata: "Kita akan berusaha supaya isu tersebut dibincang secara panjang lebar (di Dewan Rakyat), selain mengharapkan sokongan ahli Parlimen beragama Islam dari Umno."

Demonstrasi tersebut, yang diadakan selepas solat Jumaat, turut disertai Timbalan Ketua Pemuda PAS, Idris Ahmad dan Penasihat Undang-undang Pemuda PAS, Hanipa Maidin.

Salahuddin berkata, Pemuda PAS mahu hukuman dikenakan ke atas pesalah maksiat tersebut dan mendakwa tindakan Kabinet mengarahkan Jawi membatalkan samannya adalah "melanggar undang-undang yang mereka buat sendiri".

Beliau berkata, Pemuda PAS juga telah menghantar memorandum kepada jabatan agama di seluruh negara supaya terus mengadakan serbuan ke pusat-pusat maksiat di tempat masing-masing.

'Pesta seks'

Salahuddin mendakwa, kerajaan campurtangan dalam isu tersebut "untuk menyelamatkan anak pemimpin tinggi politik Barisan Nasional (BN) yang turut berada di situ".

Malah, beliau juga mendakwa ada`pesta seks' di Disco Zouk pada malam tersebut.

Beliau juga mendakwa, Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Sahrizat Jalil; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Dr Rais Yatim dan Setiausaha Parlimen Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim turut terlibat secara langsung mengecam tindakan Jawi menahan pengunjung Islam di disko tersebut.

"Mengapa mereka bising apabila Jawi bertindak mencegah maksiat tetapi membisu apabila polis menghentikan ceramah agama anjuran PAS.

"Polis memukul orang yang berdemonstrasi, malah menelanjangkan seorang daripada mereka, tetapi mereka tidak pernah membuat bantahan," katanya.

Salahuddin berkata, tiada sebarang kesalahan Jawi membuat serbuan tersebut, "kalau adapun cuma seorang pegawai mereka yang tidak membenarkan pengunjung wanita ke tandas".

Menurutnya, Pemuda PAS akan terus mengadakan demonstrasi yang serupa di seluruh negara bagi membuka mata masyarakat bahawa kerajaan BN tidak mahu membanteras maksiat di negara ini.