Pertubuhan pendesak Melayu, PERKASA menggesa Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan sekiranya firma senjata api yang dikaitkan dengan anak perempuannya mendapat manfaat daripada kedudukannya sebagai ketua polis negara.

Ketua Biro Pemantauan dan Integriti PERKASA Azrul Akmal Saharudin berkata Khalid perlu menjelaskan bila syarikat senjata api anaknya itu ditubuhkan dan adakah syarikat itu beroperasi ketika beliau memegang jawatan ketua polis negara.

"Pertama, dia kena jelaskan, syarikat anak dia ni dapat apa projek, (dapat) tender dari PDRM atau tak.

"Kita nak tau jangkamasa bila, semenjak dia jadi IGP atau sebelum," katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, jika terdapat bukti bahawa anak perempuan Khalid aktif dalam perniagaan senjata api sejak sebelum beliau menjadi ketua polis negara, maka ia tidak akan menjadi isu.

"Kalau sebelum tu, anak dia dah bergiat dalam bidang ini, itu tak ada masalah. Tapi kalau dia baru dilantik jadi KPN dan syarikat baru (ditubuhkan), ia akan menjadi isu," katanya.

Banglo Lim

Azrul juga menggesa semua pemimpin tertinggi di negara ini supaya bukan sahaja menjalankan tanggungjawab dengan integriti, tetapi juga "dilihat" sebagai pemimpin yang berintegriti di mata orang ramai.

Azrul berkata, ini termasuk perdana menteri, ketua polis negara dan menteri-menteri.

Beliau memberikan contoh isu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran.

Untuk menunjukkan integriti, katanya, Guan Eng sepatutnya mengelak membeli rumah dengan harga yang didakwa.

Katanya, kini terdapat dakwaan dalam media yang menghubungkan pembelian banglo itu dengan dengan isu tanah Taman Manggis yang dibeli oleh KLIDC.