Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan spekulasi bahawa baginda akan membeli kelab bola sepak Itali, AC Milan sambil berkata dirinya tidak sebegitu kaya untuk berbuat demikian.

“Saya tidak akan membeli AC Milan. Saya tidak mempunyai duit untuk membeli AC Milan.

“Saya tidak kaya seperti ahli perniagaan Malaysia yang lain. Saya hanya seorang pemuda dengan impian dan cita-cita yang besar, itu sahaja,” tulis baginda di laman Facebook Johor Southern Tigers .

Tunku Ismail berkata artikel dalam akhbar Straits Times Singapura baru-baru ini mungkin mencetuskan khabar angin berhubung pencapaian baginda bersama JDT dan matlamat lain dalam hidup secara umum.

“Saya juga ditanya jika saya mempunyai minat untuk membeli sebuah kelab luar negara.

“Sememangnya saya memang ada keinginan tersebut. Jika saya perlu memilih sebuah kelab, ia adalah AC Milan. Itulah salah satu impian saya. Tetapi itu tidak bermakna saya akan membelinya.

“Ia cuma sebuah kelab yang saya minati dari zaman kanak-kanak. Itu sahaja. Jadi, untuk menjawab sebarang spekulasi, jawapannya adalah tidak,” katanya.

Tunku Ismail dilantik sebagai pemangku raja bulan ini untuk mentadbir negeri itu manakala Sultan Johor berada di luar negara.

Baginda yang juga adalah Tunku Mahkota Johor sangat berminat dengan sukan bola sepak dan agak lantang menyarakan keadaan sukan itu yang dianggap daif di peringkat kebangsaan.

[Baca berita penuh]