Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemanusiaan kita sedang diuji oleh kejadian-kejadian tragis menggoncang dunia, termasuk serangan di ibu kota penting dunia, seperti Paris.

Dan kita harus mengakui - sebagai Muslim- ia berganda lebih mencabar. Amat sukar bagi umat Islam untuk tidak rasa kecewa dengan perbuatan kejam ini.

Sudah pasti mereka melakukannya atas nama ideologi yang jelas bertentangan dengan moral dalam Islam, ditambah pula dakwaan agama atas perbuatan tersebut amatlah menyakitkan bagi majoriti umat Islam.

Apabila kita cuba untuk menganalisis peristiwa-peristiwa ini, fenomena radikalisasi muncul sebagai produk – di samping yang lain - daripada empat kelemahan dalam dunia hari ini:

  • kepincangan undang-undang antarabangsa, termasuk kegagalan berterusan menangani isu Palestin, serta peperangan di Iraq dan Syria yang mengundang kekacauan ekstremisme global;

  • Kepincangan keadilan dalam ekonomi neoliberal, sebagai punca ketidakstabilan sosioekonomi dan keterpinggiran di utara dan selatan.
  • Kelemahan proses demokrasi kalangan rejim Arab, dengan pengecualian relatif Maghribi dan Tunisia, ditambah pula dengan peningkatan ketegangan mazhab dan autoritarianisme berikutan kebangkitan Arab;
  • Defisit dalam pemikiran Islam dan isu 'tiada pembaharuan' dalam agama.
  • Pemikiran Islam yang tiada pembaharuan

    Memang benar kita tidak boleh dengan mudah memperkecil isu radikalisasi kepada dimensi agama sahaja.

    Puncanya kompleks tetapi masih ada satu titik yang merentasi semua isu ini: hubungan antara dunia Muslim dan naratif agamanya. Ini kerana ia terkandung dalam tafsiran dan pelaksanaan agama.

    Berdepan dengan peningkatan eksploitasi agama yang berbahaya ini, terdapat keperluan mendesak untuk kritikan dalaman dan pembaharuan agama.

    Namun masalah utama dalam dunia Islam adalah penolakan kajian pembaharuan dalam tradisi Islam dan naratif tanding ( counter-narative ) kepada retorik agama yang radikal.

    Tradisi Muslim klasik yang kaya dengan kepelbagaian telah beransur-ansur terhakis dan memihak kepada monolitik, tafsiran esktremis yang literal, menggalakkan naratif perpecahan dahsyat them and us atau unbelievers and Muslims .

    Ini akan membiasakan kebencian atas masyarakat moden secara umum dan masyarakat Barat secara khususnya.

    Walaupun majoriti pemimpin Muslim menentang keganasan, namun kelemahan mereka untuk bertegas dan sikap berdiam diri, secara tersirat menghalalkan wacana pelampau dan ektremis di luar sana.

    Usaha ke arah pembaharuan pemikiran Islam sering dipandang serong. Hakikatnya wacana pembaharuan ini membuka pintu kepada teologi tulen pembebasan yang akan mengancam ideologi-ideologi autoritarian.

    Kini kita tidak boleh lagi bersembunyi di belakang puak reaktionari, naratif yang apologetik atau teori konspirasi. Ia perlu diakui bahawa wacana ekstrem ini mendapat bahan mentah daripada naratif Islam literal yang berakar dalam ilmu agama lapuk yang dilihat sebagai suci.

    Alternatif?

    Memandangkan kerumitan isu radikalisme dan naratif agama yang melingkarinya, kesedaran global mesti dibangkitkan mengenai keperluan mendesak untuk pembaharuan dan reformasi.

    Kefahaman agama yang kritis ini mesti berkait rapat dengan pengamalan peraturan demoktarik yang menawarkan ruang kebebasan berfikir dan bersuara.

    Penghujung ini, ditegaskan naratif ekstrem perlu diruntuhkan demi naratif alternatif Islam yang bersifat reformis, kontekstual dan bermoral. Dalam erti kata lain, Islam yang progresif, mengetengahkan nilai-nilai teras mesej kerohanian, kebebasan insani, kesaksamaan, kebebasan kepercayaan, keadilan dan kepentingan terhadap nilai seperti berfikir, kasih-sayang, keamanan sejagat serta saling menghormati.

    Dalam bahasa lain, pentafsiran semula teks sebagai kod etika kemanusiaan sejagat seperti yang terkandung dalam Al-Quran:

    “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (al-Quran 21: 107).

    Ia kini menjadi perkara yang perlu disegerakan, atas nama kemanusiaan Islam untuk memerangi pemikiran yang menyumbang kepada radikalisme.

    Ia adalah perisai bersama terhadap usaha menyahkemanusiaan yang dibentuk oleh ekstremisme ini, tanpa mengira dari mana asalnya.


    Artikel ini diterjemahkan daripada tulisan asal dalam Bahasa Inggeris How to defeat radicalism dalam The World Today keluaran April dam Mei 2016. Penulis Asma Lamrabet seorang doktor perubatan dan pengarah Pusat Kajian Wanita dalam Islam di Rabat, Maghribi.

    Tulisan ini diterjemahkan oleh Ahmad Salami, penganalisis kajian di Komuniti Muslim Universal (KMU) dan penuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).


    Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

    Lihat Komen
    ADS