Pendakwah Ayub Abdul Rahman dijadual menjawab dakwaan bahawa dirinya menyamar sebagai bekas paderi besar Kristian di Jerman.

Ini susulan laporan menyebut Gereja St Augustine of Canterbury di Wiesbaden menafikan Ayub pernah berkhidmat di negara itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini kelmarin, beliau berkata, kenyataan mengenai isu tersebut akan dikeluarkan oleh NGO Islam Harakah Hikmah (HIKMAH) Kuching, Sarawak, hari ini.

"Saya, melalui HIKMAH akan keluarkan kenyataan media Isnin nanti (hari ini).

"Saya tiada sebarang komen," katanya ringkas.

Malay Mail Online sebelum ini melaporkan dua siri ceramah di negeri Sabah dibatalkan selepas status Ayub sebagai bekas paderi besar itu dipertikaikan sesetengah pihak di Internet.

Ayub dijemput oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk menyampakai ceramah pada 20 April lalu.

JHEAINS turut mengeluarkan poster program bertajuk "Perjalanan Hijrah & Dakwah ‎- Catatan Kehidupan", oleh Ayub yang didakwa bekas paderi besar gereja di Jerman dan penerima Tokoh Maal Hijrah 2005 kategori "saudara baru".

Gereja St Augustine of Canterbury di Wiesbaden, Jerman juga dilapor menafikan Ayub pernah berkhidmat di situ.

"Dakwaan itu tidak benar. Dia tidak pernah berkhimat di sini sebagai paderi atau paderi bersekutu.

"Kami merupakan gereja Episkopal Amerika dan sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, semua paderi kami datang dari Amerika Syarikat," jurucakapnya, Rev Christopher Easthill dipetik sebagai berkata.