Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon tak hadir, bankrap: PKR mohon maaf
Diterbitkan:  Apr 25, 2016 3:31 PM
Dikemaskini: Apr 26, 2016 2:51 AM

PKR hari ini merakamkan kekesalan kerana kecuaiannya menyaksikan BN menang tanpa persaingan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Bukit Sari dan Bukit Kota pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Pengarah Operai Bilik Gerakan Utama, PKR, Ismail Yusop dalam satu kenyataan media berkata calonnya di Bukit Sari, Alex Lihan tidak hadir ke pusat penamaan pagi ini tanpa sebarang alasan.

“Kami amat kecewa dengan perubahan keputusan pada saat-saat terakhir ini dan kes ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Displin.

“Penamaan calon Pantai Damai (Morni Samsudin) terbatal disebabkan beliau muflis kerana menjadi penjamin pinjaman. Parti akan meneliti semula proses penyemakan calon,” katanya.

Dengan perkembangan itu, BN hari ini mengekalkan kedua-dua kerusi berkenaan oleh kedua-dua penyandang, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Bukit Sari dan Dr Abdul Rahman Ismail di Bukit Kota.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media di pejabat SPR Sarawak di Kuching.

Bagi Awang Tengah, yang adalah Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ini kali kedua beliau menang tanpa saingan selepas PRN 1996.

Pada pilihan raya negeri 1996, beliau menang tanpa bertanding di DUN Lawas, yang kemudian ditukar nama kepada Bukit Sari pada 2006 berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Awang Tengah, adalah Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak, merupakan Anggota DUN empat penggal di Lawas iaitu 1987, 1991, 1996 dan 2001 serta dua penggal di Bukit Sari pada 2006 dan 2011.

Pada pilihan raya negeri 2011, beliau menewaskan calon PKR Japar Suyut dengan majoriti 5,063 undi.

Bagi Dr Abdul Rahman pula, ini kali ketiga beliau menang di Bukit Kota sejak 2006.

Pada pilihan raya 2011, beliau menang dengan menewaskan calon DAP, Leong Kwang Yew dan dua calon Bebas iaitu Usop Jidin dan Ladis Pandin dengan majoriti 5,061 undi.

Lihat Komen
ADS