PKR dan DAP telah bersama-sama menjalankan tinjauan ke atas beberapa daripada kerusi-kerusi 'rebutan' antara dua parti itu sebelum pilihanraya.

DAP hari ini mendedahkan, keputusan tinjauan tersebut membuktikan parti itu mempunyai kelebihan lebih banyak untuk memenangi kerusi-kerusi berkenaan berbanding PKR.

"PKR dan DAP telah menjalankan tinjauan pendapat bagi menilai pendapat umum di enam kerusi bagi mengelakkan potensi pertembungan.

Daripada enam kerusi yang ditinjau, tiga daripadanya kini berdepan pertandingan sesama sendiri antara Dap dan PKR iaitu Batu Kitang, Simanggang and Mambong," kata wakil rakyat DAP Serdang, Ong Kian Ming.

Bekas ketua pembangkang yang kini sedang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih ada masa untuk PKR Sarawak dan DAP untuk berunding dalam 'pertembungan' dalam enam kerusi itu manakala Lim Kit Siang pula dilaporkan memohon maaf atas kegagalan Pakatan Harapan dalam memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN.

Setakat ini, PKR dan DAP akan bertembung di enam kerusi - Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Mengulas lanjut, tinjauan tersebut mendapati Dap mempunyai kelebihan 60 peratus di kalangan pengundi di Batu Kitang, berbanding hanya lapan peratus yang memihak kepada PKR.

Di Simanggang pula, 47 peratus pengundi memilih DAP berbanding BN sementara 23 peratus berkata, mereka akan mengundi PKR berbanding BN.

Walau bagaimanapun, di Mambong, kedua-dua parti 'seri' apabila 36 peratus daripada mereka akan memilih sama ada PKR atau Dap berbanding BN.