Rafizi: Parlimen perlu sahkan CEO baru Tabung Haji
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji perlu disahkan oleh Parlimen.
Beliau berkata demikian berikutan artikel di The Edge Financial Daily yang melaporkan CEO semasa Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail akan meletakkan jawatannya.
Rafizi berkata, peletakan jawatan itu adalah bukti bahawa pendedahan beliau berhubung tata kelola dan kedudukan kewangan Tabung Haji sebelum ini ada kebenarannya.
Beliau juga menggesa CEO baru untuk melakukan audit khas mengenai kedudukan kewangan dan operasi kumpulan itu dan dibentangkan sebagai kertas putih di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
“CEO baru hendaklah disenaraipendek dan dipilih dari luar supaya beliau boleh bertindak secara objektif menilai segala masalah yang ada.
“CEO baru itu hendaklah melalui proses saringan yang dikendalikan oleh satu jawatankuasa khas Parlimen yang bertanggungjawab membuat pendengaran terbuka (“confirmation hearing”) bagi memastikan beliau benar-benar sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata beliau akan membangkitkan perkara ini dalam satu usul di Parlimen pada sidang akan datang.
Beliau juga menggesa supaya pengurusan baru Tabung Haji kelak meneliti semua isu yang dikemukakannya sebelum ini dan memberi penjelasan yang telus.
“Saya juga ingin menyatakan apabila isu-isu itu terbukti ada kebenarannya, maka wajarlah Tabung Haji menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap saya dan menggugurkan kes jenayah supaya satu tindakan saman di mahkamah sivil boleh diambil jika isu-isu yang saya bawa dikira memfitnah Tabung Haji,” katanya.
Rafizi berkata Ismee juga adalah ahli lembaga pengarah dalam firma kontroversi 1MDB dan kemungkinan akan disiasat tidak lama lagi.
Beliau juga menggesa kerajaan untuk tidak melantik Ismee ke mana-mana jawatan dalam mana-mana agensi, badan atau syarikat yang dikawal oleh kerajaan sehinggalah siasatan selesai dan beliau disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan atau kecuaian.
“Oleh itu, saya berharap sebarang usaha untuk melantik beliau menjadi orang nombor 2 di Sime Darby seperti yang dilaporkan tidak diteruskan,” katanya.
Rafizi sebelum ini mendakwa Tabung Haji membabitkan diri dalam pelaburan berisiko termasuk jaminan RM1 bilion kepada sebuah anak syarikat 1MDB yang bermasalah.

