Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ISMA minta wanita perkasa keperibadian, jati diri

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini meminta wanita daripada pelbagai peringkat untuk berkongsi pengalaman serta mencari penyelesaian berkaitan isu wanita yang berlaku dalam dan luar negara.

Naib Ketua Wanita Isma Dr Norazila Baharin berkata langkah itu perlu bagi memastikan martabat wanita sebagai pemangkin dan tulang belakang sesebuah institusi keluarga terus dipelihara.

"Wanita atau ibu turut dinasihatkan untuk menyertai usrah bagi membantu memperkasakan keperibadian diri dan anak-anak selain menghayati risalah Islam yang dibawa Rasullulah SAW," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri persidangan wanita Islam Antarabangsa (Perwanis) 2016 bertemakan 'Wanita Pemangkin Kemenjadian Generasi' yang dirasmikan Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd Rahman, di Shah Alam, hari ini.

Norazila yang juga Pengarah Perwanis turut mengingatkan wanita Islam supaya menguatkan jati diri dan bergerak secara tersusun dalam bidang dakwah, pendidikan, sosial, kesihatan dan politik bagi menghadapi serangan yang berunsurkan kedengkian terhadap agama itu.

"Kita juga tidak mahu wanita terus menjadi mangsa dalam pelbagai ancaman jenayah seperti love scam , rogol, peras ugut webcam dan sebagainya yang mana ini boleh menghancurkan institusi keluarga.

"Oleh itu, kita menggesa wanita muslimah agar lebih peka dan beretika ketika menggunakan media sosial untuk mengelakkan diri diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini menghimpunkan kira-kira 150 aktivis dan ahli akademik dari negara serantau termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS