'Speaker perlu terima usul tak percaya ke atas MB T'ganu'
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong perlu menerima usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman yang dibentangkan oleh Datuk Seri Ahmad Said.
Menurut penganalisis politik Dr Mazlee Malik, ini kerana perkembangan terbaru yang menyaksikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melucut semua darjah kebesarannya menjejaskan integriti Ahmad Razif.
"Ia melibatkan integriti maka eloklah speaker DUN terima usul Ahmad Said bagi undi tidak percaya kepada menteri besar," kata Mazlee kepada Malaysiakini.
Awal bulan lalu, Ahmad Said selaku ADUN Kijal memfailkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif tetapi usul itu ditolak.
Ditanya peluang Umno untuk menyelamatkan kerajaan negeri dengan membubarkan dewan undangan negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, Dr Mazlee berkata terpulang kepada Ahmad Razif untuk menentukan pembubaran itu.
"Untuk bubar terletak di tangan beliau dengan perkenan Sultan. Tapi ganti MB tak perlu bubar dewan,” katanya.
Sesetengah penganalisis menjangkakan BN Terengganu bakal berdepan dengan krisis berikutan perkembagan semasa itu kerana ia hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis.
BN mempunyai 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi - 14 daripada PAS dan seorang daripada PKR.
Dr Mazlee juga tidak yakin pembentukan kerajaan perpaduan dengan pembangkang, khususnya dengan PAS akan berjaya.
Ini kerana, katanya persoalannya siapa yang seharusnya menjadi menteri besar.
"Soalnya siapa MB? Ahmad Razif? Kan dia isi utamanya,” katanya lagi.
Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.
Jumaat lalu, Sultan Mizan melucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif yang dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, pengisytiharan yang dibuat tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu.

