Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Menteri Kewangan 'terhebat' membisu keingkaran 1MDB
Diterbitkan:  Apr 27, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Tiada sebarang komen dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas 1MDB diisytihar ingkar kerana gagal membayar faedah AS$50.3 juta untuk bon berbilion dolar terbitannya yang dijamin International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, akhbar Singapura baru-baru ini melaporkan kerajaan terdedah kepada hutang lebih AS$6.481 bilion kepada syarikat milik Abu Dhabi itu.

Bagaimanapun, katanya, Najib yang juga menteri kewangan Malaysia tetap membisu.

"Apakah impak keingkaran ini kepada negara, hutang-hutang negara yang lain dan juga nilai ringgit dalam jangka panjang dan pendek? Sunyi sepi daripada menteri kewangan," katanya.

"Jadi berapakah hutang 1MDB setelah IPIC tidak mahu meneruskan perjanjian itu? Siapa yang akan bertanggungjawab? Menteri kewangan tidak mengendah.

"Ini bukti Malaysia mempunyai menteri kewangan yang 'terhebat'. Sudah sampai masanya rakyat bertanya apakah perlu rakyat terus membayar gaji kepada menteri kewangan 'terhebat' ini?" soalnya dalam satu kenyataan media.

Dalam kenyataan akhbar semalam 1MDB mempersalahkan IPIC milik Abu Dhabi kerana gagal membuat pembayaran faedah AS$50.3 juta seperti ditetapkan mengikut terma terikat yang dipersetujui pada 28 Mei 2015.

Mengikut IMDB, IPIC bertanggungjawab membayar faedah dan jumlah asas bagi AS$1.75 bilion bon yang matang pada 2022, yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd.

Disebabkan pertikaian antara pihak terlibat, 1MDB dan anak syarikatnya 1MDB Energy (Langat) Ltd, tidak membuat pembayaran dan kini ingkar mengikut syarat bon berkenaan.

Straits Times Singapura melaporkan pengisytiharan ingkar itu mendedahkan kerajaan dengan hutang lebih AS$6.481 bilion kepada Abu Dhabi.

Justeru, Tuan Ibrahim mempersoalkan sekiranya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu memanggil semula presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy bagi mengetahui pelbagai hutang 1MDB yang masih gagal didedahkan.

"Kepada saudara Arul, dedahkanlah semua sebelum terlambat. Ini adalah jasa terbesar saudara kepada rakyat Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS