Pertembungan 6 DUN: DAP, PKR tidak akan berganjak
SARAWAK DAP dan PKR akan terus berkempen di enam kerusi yang menyaksikan kedua-dua parti bergelut sesama sendiri, selepas PKR menolak tawaran DAP untuk melepaskan Batu Kitang jika PKR berhenti berkempen di lima kerusi lain.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng yang jelas kecewa dengan perkembangan itu memberitahu wartawan di Kuching, parti itu tidak akan melepaskan Batu Kitang.
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar pula berkata, beliau tidak mahu lagi mengulas mengenai calon-calon DAP.
"Kami mahu terus ke depan," ujar Xavier di ibu pejabat PKR di Kuching, hari ini.
Xavier turut membacakan kenyataan akhbar memperincikan sebab-musabab yang kuat untuk partinya meletakkan calon-calon di kerusi Ngemah, Mulu, Murum, Simanggang dan Mambong, walaupun bertembung dengan DAP.
Sidang akhbar tersebut diadakan secara berasingan tetapi pada waktu yang sama.
Beberapa hari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan kekecewaan dengan keputusan PKR untuk bertanding menentang parti itu di lima kerusi pada pilihan raya negeri berkenaan.
"Jika satu kerusi, kita boleh memahami. Kita boleh cuba untuk ketepikannya tetapi (ini sekurang-kurangnya) lima kerusi, bagaimana kita boleh ketepikannya?
"Kami rasa bahawa DAP telah ditipu," katanya kepada pemberita di luar pusat penamaan calon Senadin di Miri.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pula mengesahkan bahawa beliau memberi kuasa kepada PKR Sarawak untuk menurunkan calon parti berkenaan di lima kerusi yang menjadi perbalahan dengan DAP.

