Tinjauan IATA: 52% syarikat penerbangan unjur keuntungan
Tinjauan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam kalangan ketua eksekutif kewangan dan ketua bahagian kargo udara dunia, menunjukkan bahawa hampir 52 peratus daripada mereka menjangkakan keuntungan pada suku pertama tahun ini akan meningkat, berbanding tempoh yang sama tahun lepas
IATA dalam satu kenyataan berkata keputusan kaji selidik itu selaras dengan prestasi permulaan pasaran penumpang yang kukuh sejak awal tahun dengan hampir 62 peratus daripada responden menyaksikan peningkatan jumlah trafik tahun ke tahun dalam tempoh suku berkenaan, manakala hanya kurang daripada 10 peratus melaporkan kejatuhan.
"Skor purata wajaran kekal kukuh dalam lingkungan positif, secara meluas selaras dengan tahap purata sejak 2013," katanya.
IATA berkata majoriti responden juga menjangkakan permintaan penumpang akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang ekoran kebimbangan terhadap kedudukan ekonomi China yang lembap, kini semakin pulih.
Bagaimanapun katanya kira-kira 42 peratus daripada responden menjangkakan keuntungan akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang, mencerminkan kurangnya tekanan ke atas hasil dan prospek pertumbuhan ekonomi global yang terus menyederhana.
Mengenai perniagaan kargo, lebih daripada satu perempat responden melaporkan jumlah kargo yang lebih rendah pada suku pertama berbanding suku yang sama lepas tahun, ekoran latar belakang asas perdagangan global yang lemah yang turut menjejaskan pertumbuhan masa hadapan.
Bagaimanapun, ia berkata jumlah kargo yang lemah diimbangi oleh harga minyak yang lebih rendah dengan dua pertiga daripada responden melaporkan penurunan kos operasi pada tempoh suku terbabit.
Harga bahan api jet, yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah kos industri, adalah 39 peratus lebih rendah pada suku pertama dari segi perbandingan tahunan.
Mengenai pekerjaan, IATA berkata berdasarkan keuntungan industri yang masih sihat, syarikat penerbangan kini mengambil pekerja, dengan hampir 39 peratus daripada responden melaporkan peningkatan tahap pekerjaan tahun ke tahun pada suku pertama.
Ia berkata 42 peratus daripada responden juga menjangkakan akan mengambil lebih ramai pekerja dalam tempoh 12 bulan akan datang.
- Bernama

